Kementerian Sumber Manusia bersedia menjadi pemudah cara dalam kemelut foodpanda. FOTO Aswadi Alias
Mahaizura Abd Malik


KEMENTERIAN Sumber Manusia bersedia menjadi pemudah cara dalam kemelut yang melanda pengurusan syarikat perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian, foodpanda dan penghantar makanan mereka supaya kedua-dua pihak memperoleh situasi menang-menang.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya sentiasa terbuka menawarkan malah menerima kehadiran mana-mana pihak mendapatkan khidmat kementeriannya demi keharmonian semua pihak.

“Saya difahamkan ada satu pertemuan antara pengurusan foodpanda dan Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) di bawah kementerian kita petang ini.

“Kita akan melihat malah sedia memberikan nasihat dan pandangan kepada majikan untuk melihat kembali rungutan ‘riders’ supaya dua-dua pihak mendapat ‘win win situation’.

“Kita tidak boleh pergi jauh daripada itu (mengambil tindakan) kerana tiada perundangan untuk terlalu memaksa (keputusan) pengurusan foodpanda disebabkan ‘riders’ itu tergolong dalam mereka yang bekerja sendiri dan tidak termaktub dalam perundangan serta akta pekerjaan Malaysia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun katanya, majikan perlu peka dan mengutamakan kebajikan pekerja bukan hanya mementingkan keuntungan berikutan golongan itu tulang belakang dalam menjana keuntungan syarikat.

“Kita prihatin dengan ‘riders’ kerana mereka ini anak-anak muda yang hendak keluar dari perangkap pengangguran.

“Sepatutnya kita menyambut usaha itu jadi tidak bolehlah syarikat pentingkan keuntungan tanpa memikirkan kebajikan pekerjanya kerana ‘riders’ inilah yang menggerakkan keuntungan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan foodpanda Malaysia Sayantan Das berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu selepas mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Sumber Manusia dalam masa terdekat.

Kemelut antara pengurusan foodpanda dan penghantar makanan mereka tercetus selepas syarikat itu melaksanakan skim pembayaran baharu iaitu bayaran bekerja mengikut jam dimansuhkan dengan menggantikan bayaran setiap pesanan dinaikkan antara RM4.50 hingga RM7 berkuatkuasa kepada semua penunggang di luar Lembah Klang semalam.

Pelaksanaan skim pembayaran baharu itu mendapat bantahan penghantar makanan foodpanda hingga mereka melakukan mogok serta dialog bersama Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman malam tadi.

Hasil sesi dialog di kediamannya itu, Syed Saddiq mahu syarikat pengendali penghantaran makanan foodpanda, mengembalikan sistem pembayaran lama untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penghantar makanannya serta berjanji membawa isu itu ke kabinet.

Berita berkaitan

Kembali ke asal - Syed Saddiq

Foodpanda nilai semula kebajikan 'riders' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 7:45 PM