Hairulazim Mahmud


KERAJAAN sedia melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) jika itu yang rakyat mahu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, bagaimanapun kerajaan perlu mengkaji terlebih dahulu perkara itu sama ada GST lebih baik berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Jika rakyat percaya GST lebih baik, kita akan kaji sama ada lebih baik daripada SST.

“Tapi untuk masukkan dalam belanjawan tahun hadapan memang tidak sempat,” kata beliau kepada media selepas melancarkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.

Beliau mengulas cadangan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang berharap kerajaan memperkenalkan semula GST dengan kadar lebih rendah berbanding era Barisan Nasional dalam Belanjawan 2020 untuk menutup jurang kewangan kerajaan.

Pengerusi MIER Tan Sri Dr Kamal Salih berkata, cukai kepenggunaan itu adalah sistem percukaian yang adil dan cekap, berbanding SST.

Kerajaan Pakatan Harapan memperkenalkan SST pada 1 September 2018 menggantikan GST.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 10:42 AM
    GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP