Noor Atiqah Sulaiman


DUA sindiket penjualan rokok bersetem palsu dan cubaan menyeludup rokok bernilai RM18.13 juta berjaya ditumpaskan menerusi Ops Tampal yang berlangsung dua minggu.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Seri Paddy Abd Halim berkata, operasi itu bermula 22 September lalu, membabitkan Zon Tengah dan Utara.

“Berdasarkan beberapa siri serbuan yang dilakukan, JKDM berjaya menahan 29 orang yang disyaki anggota kedua-dua sindiket berkenaan.

“Untuk kes pertama, kita berjaya merampas 22 juta batang rokok putih dan 26,000 batang rokok kretek bersetem palsu dengan anggaran nilai RM2.2 juta serta cukai sebanyak RM14.76 juta.

“Turut menyita 15 kenderaan yang disyaki terbabit untuk penghantaran rokok bersetem palsu itu.

“Bagi kes kedua pula, kita berjaya mematahkan cubaan seludup 1.5 juta batang rokok putih dan 30,200 batang rokok kretek. Operasi ini sekali gus rampasan terbesar bagi sindiket penjualan rokok bersetem palsu,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Dengkil, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua kes itu sedang disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 kerana memiliki barang tidak berkastam di bawah Seksyen 135(1)(d).

Sementara itu, Paddy berkata, pihaknya kini sedang menyiasat sumber yang mengeluarkan setem palsu berkenaan dan siasatan dibuat pelbagai sudut.

“Kita akan siasat sama ada ia diperoleh dari dalam atau luar negara, Setem berkenaan jika dilihat dengan mata kasar, sukar memastikan sama ada ia tulen atau palsu.

“Namun semakan dengan alat tertentu boleh tahu ia palsu dan rokok berkenaan juga dijual pada harga kurang RM10,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 12:46 PM
PADDY bersama pegawainya menunjukkan sebahagian rokok yang dirampas dalam Ops Tampal. FOTO Noor Atiqah Sulaiman.