MUHYIDDIN Yassin ketika sidang media selepas majlis Pelancaran DKKA. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Hairulazim Mahmud


KERUSI Parlimen Tanjung Piai kekal ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), kata Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, mengikut dasar Pakatan Harapan (PH) kerusi yang ditandingi oleh mana-mana parti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak akan berubah.

“Kalau ikut dasar PH sedia ada, kerusi ditandingi mana-mana parti kekal, jadi Tanjung Piai ditandingi BERSATU jadi saya percaya ia masih kekal.

“Jadi kita akan menentukan senarai calon yang layak dan boleh diterima pengundi di Tanjung Piai,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas pelancaran Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) di Putrajaya, hari ini.

DKKA dilancarkan oleh PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata,

BERSATU akan mengatur strategi dan kempen menyeluruh untuk menjelaskan pelbagai isu kepada rakyat sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak maklum balas berikutan kekalahan PH pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih lalu.

“Kita mengambil kita pengalaman lalu, dan di Tanjung Piai kita akan atur strategi dan gerak kerja kempen lebih menyeluruh untuk menjelaskan isu yang tidak difahami rakyat kerana dalam tempoh beberapa bulan lalu, banyak perkara berbangkit menjadi tular di media sosial yang tidak diperjelaskan,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November depan.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 2 November manakala pengundian awal akan diadakan pada 12 November.

PRK Tanjung Piai perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafiq, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu berikutan komplikasi jantung.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 1:34 PM