Gambar hiasan
Gambar hiasan
Fardy Bungga


POLIS mengesahkan keluarga mangsa culik di perairan Tambisan, Lahad Datu, sudah menerima panggilan daripada kumpulan penculik yang meminta wang tebusan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, keluarga mangsa warga Indonesia itu dihubungi kumpulan penculik beberapa hari selepas menculik tiga mangsa.

Bagaimanapun berkata, setakat ini pihaknya masih belum didedahkan jumlah wang tebusan dituntut oleh kumpulan penculik berkenaan.

“Difahamkan, kumpulan penculik turut cuba menghubungi majikan mangsa dipercayai untuk meminta wang tebusan.

“Kita akan berhubung dengan pihak berkuasa negara jiran bagi membincangkan lebih lanjut berhubung perkara ini,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian 23 September lalu, tiga nelayan warga Indonesia, Maharudin Lunani, 48, dan anaknya, Muhammad Farhan, 27, serta anak buahnya, Samiun Maneu, 27, diculik sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menggunakan bot pam ketika menjala udang di perairan Tambisan, Lahad Datu.

Pasukan keselamatan mengesahkan kumpulan culik untuk mendapatkan wang tebusan (KFR) yang menculik mangsa sebelum membawa mereka ke perairan Pulau Tawi-Tawi, selatan Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 2:41 PM