KURA-KURA berjaya diselamatkan orang awam daripada dijual dan dijadikan hidangan eksotik di restoran di Sibu. FOTO IHSAN SFC
Garret Dawum


SEEKOR kura-kura seberat 12.5 kilogram berjaya diselamatkan daripada dijual untuk dijadikan hidangan eksotik di restoran di Sibu, minggu lalu.

Kura-kura jenis Asian Forest dihantar seorang individu ke Pusat Hidupan Liar Matang, Selasa lalu.

Menurut jurucakap Sarawak Forestry Corporation (SFC), kura-kura itu kini berada dalam keadaan baik di bawah jagaan petugas pusat berkenaan.

“Individu terbabit turut menyerahkan seekor kura-kura kecil spesies Brown Forest.

“Kami menyambut baik usaha orang ramai yang prihatin terhadap kebajikan haiwan terlindung ini daripada menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan penjualan haiwan terlindung perlu melaporkannya dengan segera kepada kami,” katanya ketika dihubungi.

Jurucakap itu berkata, SFC memohon orang ramai tidak menyokong penjualan haiwan terlindung.

“Kura-kura terbabit antara spesies haiwan terlindung dan sesiapa yang didapati menjual haiwan ini boleh dikenakan penjara dua tahun dan denda RM25,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 3:49 PM