Mohd Aizat Shamsuddin


KERAJAAN yakin dapat mengurangkan separuh daripada RM6 bilion ketirisan dialami negara dalam sektor perikanan kesan pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, angka itu diharap dapat dicapai dalam tempoh beberapa tahun akan datang melalui tindakan penguatkuasaan tegas dan tidak kompromi dengan nelayan asing.

Katanya, daripada RM6 bilion, sebanyak RM1.8 bilion kerugian dialami negara setiap tahun membabitkan pencerobohan nelayan asing laut dalam.

“Sekiranya kita dapat menahan lebih banyak bot (nelayan asing), ia dapat mengurangkan kerugian negara. Statistik ini akan kita keluarkan dalam masa terdekat selepas mengambil kira jumlah tangkapan dan jualan (hasil laut) untuk mendapatkan jumlah sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan proses pelupusan lima bot nelayan asing ditenggelamkan di perairan Pulau Kapas, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Sallehhuddin Hassan; Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.

Salahuddin berkata, sejak Ops Naga dilaksanakan 24 April lalu membabitkan kementeriannya bersama Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan, sebanyak 128 bot nelayan asing berjaya ditahan dan dihadapkan ke mahkamah dengan nilai rampasan dianggarkan RM12 juta.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak lapan bot nelayan asing dilupuskan dan ditenggelamkan selepas selesai proses perundangan termasuk lima bot kali ini.

“Sebanyak 128 bot ditahan sejak April menunjukkan pencapaian yang boleh dibanggakan dan satu tindakan yang memberi kesan kepada negara serta nelayan asing.

“Ini juga mesej jelas kepada negara yang terbabit dalam isu pencerobohan dan kerajaan tidak akan berganjak selepas Kabinet memutuskan Ops Naga dilaksanakan untuk mengawasi perairan negara dan tindakan tegas diambil di bawah Akta Perikanan.

“Malah, amaran kepada pemegang lesen bot tempatan supaya tidak menggadai dan menjual lesen kepada bot asing. Tindakan tegas boleh diambil dan kerajaan tidak teragak untuk mengheret mereka ke mahkamah selain lesen dirampas,” katanya.

Beliau berkata, disamping tindakan undang-undang dan Kabinet memutuskan tidak akan menghentikan Ops Naga, hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara jiran akan dipertingkatkan.

Katanya, Kementerian Luar Negeri ditugaskan untuk meningkatkan perundingan dengan negara terbabit yang boleh disifatkan sebagai cara terbaik supaya pencerobohan nelayan asing pada masa depan tidak terus berlaku.

“Saya mengharapkan kerjasama daripada semua agensi dan nelayan tempatan supaya melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya melihat ada pencerobohan berlaku dalam perairan negara,” katanya.

Katanya, melalui keberkesanan Ops Naga ini diharap dapat membantu nelayan memaksimumkan hasil tangkapan dan seterusnya harga ikan dapat dikawal dengan baik.

“Antara (masalah) kita hadapi adalah tidak dapat memaksimumkan sumber tangkapan. Ada laporan mengatakan ikan kelas A dijual di tengah laut dan bukan di jeti kita.

“Melalui Ops Naga, kita memulakan langkah mengurangkan kerugian apabila tangkapan dapat dimaksimumkan, seterusnya harga ikan dapat dikawal dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 4:07 PM
ANTARA bot rampasan milik nelayan asing yang menceroboh perairan negara dilupuskan di perairan Pulau Kapas. FOTO GHAZALI KORI