X
KOPPIM sasar buka 100 Malakat Mall khusus untuk pengusaha Bumiputera dalam tempoh 10 tahun. FOTO YUSMIZAL DOLAH ALING
KOPPIM sasar buka 100 Malakat Mall khusus untuk pengusaha Bumiputera dalam tempoh 10 tahun. FOTO YUSMIZAL DOLAH ALING
Yusmizal Dolah Aling


KOPERASI Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KOPPIM) mensasarkan untuk membuka 100 Malakat Mall sebagai ekosistem baru dan pusat pengedaran barangan usahawan Bumiputera dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fadzil Hashim berkata, setakat ini 10 premis sudah dikenal pasti untuk diambil alih di sekitar Lembah Klang dengan kos RM10 juta setiap satu dan dijangka beroperasi tahun depan.

Katanya, pihaknya juga mensasarkan satu juta ahli koperasi yang akan menggerakkan perniagaan berkenaan bagi membolehkan komuniti yang berbelanja mendapat manfaat secara langsung.

“Dengan cara ini, kita akan menyumbang kepada ‘Ummah Victory Fund’ yang akan digunakan untuk menyelesaikan masalah berkaitan ummah seperti kemiskinan, pendidikan, kesihatan, keselamatan makanan perumahan dan fakir miskin.

“Kaedah ini sudah diguna pakai syarikat Alibaba di China dan tiada sewa dikenakan kepada rakan kongsi, apa yang kita akan buat ialah perkongsian pendapatan selain bimbingan jenama dan pemasaran,” katanya selepas pelancaran Pelan Pembangunan Ekosistem Ekonomi Islam di Cyberjaya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Fadzil berkata, Malakat Mall itu juga akan dijadikan pusat pengembangan komuniti yang membabitkan latihan dan pusat transformasi perniagaan.

Katanya, berdasarkan kajian dilakukan, ekosistem baru ini berupaya menjadikan usahawan Bumiputera berdaya saing dengan penyatuan pembelian yang boleh membina ekonomi bagi satu juta keluarga.

“Dengan adanya Malakat Mall, kita akan wujudkan 5,000 peluang perniagaan, 100,000 peluang pekerjaan dengan pendapatan minimum RM10,000 sebulan.

“Inilah masanya yang kita tunggu untuk tingkatkan ekonomi Bumiputera dan bersaing dalam perniagaan menggunakan modul yang diyakini mampu meletakkan pengguna sebagai pemilik ekonomi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 7:31 PM