MOHD Zain (kanan) bersama Ahmad Fikri (dua kanan) di rumahnya di Kampung Kok Keli 1, Tumpat. FOTO Syamsi Suhaimi.
Siti Rohana Idris


“AMANAT arwah isteri adalah kunci kekuatan saya untuk terus menjaga tiga anak istimewa kami sehingga hujung nyawa,” kata Mohd Zain Abdullah, bapa tunggal dari Kampung Kok Keli 1, Tumpat.

Kisah kecekalan Mohd Zain, 56, yang menguruskan tiga anaknya menghidap Cerebral Palsy sejak dua tahun lalu selepas kematian isteri, Nooraini Ismail, 48, mendapat liputan meluas media cetak dan elektronik.

Mohd Zain berkata, walaupun adakalanya agak lelah menguruskan tiga anak istimewanya, Khairul Nisaa’, 25; Muhammad Amir, 18, dan Ain Husna, 17, tetapi dia perlu kuat demi menjalankan amanat arwah isteri dan menggalas tanggungjawab.

“Mereka darah daging saya dan masih terngiang-ngiang di telinga ini mengenai pesan arwah (isteri) supaya menjaga tiga anak ini dengan baik...mungkin ketika itu dia sudah menjangkakan ajalnya tidak lama lagi.

“Menguruskan ketiga-tiga anak ini tidak sesukar mana cuma tidak boleh ditinggalkan kerana khuatir akan berguling sesama sendiri.

“Saya perlu memandikan mereka kerana harus diangkat secara bergilir ke tempat mandi, manakala anak lain membantu menyuapkan makanan serta minuman dan menjaga ketika saya keluar bekerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Menurutnya, dia yang bekerja sebagai tukang rumah hanya mengambil upah di sekitar kampung itu sahaja kerana tidak sanggup meninggalkan tiga beradik itu terlalu lama dan setakat ini rezeki mereka tidak pernah putus.

Katanya, dia menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM1,050 sebulan iaitu RM350 seorang sudah mampu digunakan untuk perbelanjaan makan minum serta lampin pakai buang tiga anaknya itu.

“Rezeki semakin mencurah apabila ramai tampil membantu selepas kisah kami tular dan saya sangat berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang pemurah,” katanya.

Terdahulu mereka menerima kunjungan Malaysia Airports Sdn Bhd diketuai Pengurus Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Ahmad Fikri Samsudin yang menyampaikan sumbangan makanan keperluan harian, lampin pakai buang dan wang tunai.

Ahmad Fikri berkata, kunjungan mereka adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan bantuan itu hasil sumbangan kakitangan serta orang perseorangan.

“Kami terpanggil untuk membantu Mohd Zain selepas kisahnya menjaga tiga anak istimewa tular dan kami rasakan ia memerlukan dana cukup besar.

“Sebagai syarikat korporat, kami wajar tampil membantu sedikit-sebanyak untuk meringankan beban mereka sekeluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 9:05 PM