Skip this ad x
BARANG bukti dirampas daripada suspek.
Abnor Hamizam Abd Manap


JELEBU: Dua tokan yang masing-masing ada lapan dan 11 rekod jenayah berkaitan dadah ditahan dalam serbuan di sebuah pondok di Kampung Petaseh Jelatang di sini, malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 12 tengah malam di pondok berhampiran kebun getah itu, kedua-dua suspek cuba melarikan diri menyebabkan seorang daripada mereka cedera di lutut kerana terjatuh.

Pemeriksaan pada badan dan di pondok itu menemui syabu seberat 45 gram dan 134.85 gram heroin serta 13 pil eramin5 dan peralatan menghisap dadah.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat awam.

Katanya, pemeriksaan pada badan seorang suspek menemui 13 peket plastik lutsinar pelbagai saiz mengandungi heroin seberat 19.72 gram yang disimpan di dalam beg kecil berzip.

“Turut ditemui dua peket plastik lutsinar syabu seberat 12.42 gram. Manakala pemeriksaan pada badan seorang lagi suspek tidak menjumpai barang terlarang itu,” katanya, semalam.

Kamarul Rizal berkata, polis memeriksa pondok dan menjumpai beg pinggang hitam berisi empat peket plastik lutsinar dadah jenis heroin seberat 115.13 gram, dua kepingan kertas aluminium merah bertulis eramin5 dengan setiap kepingan berisi lapan dan lima pil.

“Polis turut menjumpai sampul kertas mengandungi lima peket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi syabu seberat 32.58 gram, alat penimbang digital dan botol kaca diubah suai menjadi alat menghisap dadah,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menyita motosikal Honda EX5, kereta Proton Wira dan wang tunai RM300.

Kamarul Rizal berkata, kedua-dua suspek yang turut positif dadah direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 5:40 AM