Nur Saliawati Salberi


MELAKA: Seorang nelayan dan anak lelakinya menempuh detik mencemaskan apabila empat jam berpaut pada jaring selepas bot dinaiki tenggelam dipukul ombak di kedudukan kira-kira lima batu nautika dari Jeti Nelayan Tanjung Kling di sini, malam kelmarin.

Kejadian dikatakan berlaku jam 12 tengah malam ketika Sulaiman Othman, 67, dan anaknya, Andika Daud, 35, memasang jaring.

Katanya, disebabkan ribut, dia dan anaknya hanya turun ke laut pada jam 9.30 malam berbanding hari sebelum jam 6 petang.

“Ketika memasang jaring, tiba-tiba bot kami dipukul ombak dari arah belakang menyebabkan ia tenggelam.

“Ketika itu hanya separuh jaring baru sempat dipasang,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Tanjung Kling di sini, semalam.

Bekas kelasi kapal itu berkata, dia bersyukur kerana anaknya sempat mencapai telefon bimbit yang disimpan di dalam bekas sebelum menelefon menantunya bagi meminta pertolongan.

Menurutnya, sepanjang empat jam terapung dia dan anaknya cuba untuk tidak cemas sementara menunggu mereka diselamatkan.


SULAIMAN menunjukkan perairan Selat Melaka di mana bot miliknya tenggelam ketika ditemui di Jeti Kampung Hailam, Tanjung Kling.

“Dalam keadaan gelap dan talian telefon yang tidak berapa jelas anak berjaya menghubungi isterinya memberitahu bot kami karam,” katanya.

Sulaiman berkata, mereka diselamatkan oleh rakan nelayan berpandukan lampu suluh yang dipakai di kepalanya.

“Buat sementara waktu ini sudah pasti saya tidak dapat ke laut kerana bukan mudah untuk mengumpul wang bagi membeli bot dan enjin serta kelengkapan baru.

“Bagaimanapun saya amat bersyukur kerana masih dipanjangkan umur dan berterima kasih kepada rakan nelayan yang membantu menyelamatkan kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 5:50 AM