ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa selepas kereta Proton Waja dipandunya bertembung dengan Perodua Axia, malam tadi. FOTO ihsan pembaca.
Syaherah Mustafa


LELAKI maut apabila terbabit dalam kemalangan di Jalan Pasir Mas-Tanah Merah di Kampung Kangkong, Pasir Mas, malam tadi.

Dalam kejadian 9.45 malam itu, Roslan Ariffin, 51, maut di tempat kejadian selepas kereta Proton Waja dipandu bertembung dengan kereta Perodua Axia ketika dalam perjalanan ke kelas mengaji al-Quran di Masjid Lubuk Tapah.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pintu Geng, Kota Bharu petang ini.

Pemandu dan penumpang sebuah lagi kereta yang cedera dibawa ke hospital sama untuk rawatan.

Adik mangsa, Rozita Arifin, 44, berkata, beberapa jam sebelum kejadian dia sempat bertemu dengan abangnya itu yang datang ke rumahnya untuk mengambil anak tunggalnya berusia 12 tahun.

“Arwah ada beritahu yang dia perlu segera ke masjid kerana sudah lewat petang. Tidak lama selepas itu saya mendapat maklumat daripada aplikasi WhatsApp memaklumkan abang terbabit dalam kemalangan.

“Abang memang taat pada agama dan sering menjadi imam atau bilal bukan sahaja di masjid kampungnya, malah di tempat kerja.

“Saya amat merasai kehilangan arwah kerana dia seorang abang sangat baik, disenangi orang sekeliling dan sentiasa mengingatkan kami sekeluarga mengenai kepentingan agama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Ismail Jusohberkata, hasil siasatan mendapati kereta dipandu mangsa dari arah Pasir Mas ke Tanah Merah dipercayai masuk ke arah bertentangan dan bertembung dengan Perodua Axia.

“Akibat pertembungan ini, kedua-dua kereta terbabas ke bahu kanan jalan dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 3:49 PM