LATHEEFA (kiri) dan Paddy (dua dari kiri) beramah mesra bersama Pengarah Kastam negeri selepas Pelancaran Kempen Kastam Perangi Perasuah di Wesport, Pelabuhan Klang, hari ini. FOTO Bernama.
LATHEEFA (kiri) dan Paddy (dua dari kiri) beramah mesra bersama Pengarah Kastam negeri selepas Pelancaran Kempen Kastam Perangi Perasuah di Wesport, Pelabuhan Klang, hari ini. FOTO Bernama.
Mohd Firdaus Ibrahim


SEBANYAK 79 peratus aduan meminta dan menerima rasuah diterima Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membabitkan pegawai dan anggota agensi berkenaan di seluruh negara.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Paddy Abd Halim berkata, pihaknya dalam proses meneliti aduan dipanjangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada pihaknya.

“Bukan semuanya rasuah, kita akan semak perkara ini dengan lebih teliti untuk pastikan kesahihannya.

“Aduan ini menyebabkan persepsi orang ramai bahawa korupsi tinggi dalam kastam,” katanya pada sidang media selepas pelancaran inisiatif Kastam Perangi Perasuah di Westport, Pelabuhan Klang, hari ini.

Paddy berkata, pihaknya memberi jaminan setiap aduan salah laku membabitkan pegawai dan anggotanya akan disiasat secara terperinci sebelum tindakan tegas diambil.

“Tindakan tetap akan diambil, kita tidak letak tepi. Perkara ini (aduan) dinilai cawangan integriti (JKDM) dan SPRM untuk tindakan lanjut.

“Selain (tindakan) tatatertib, kes akan dibawa ke mahkamah, tindakan buang kerja juga (dikenakan). Saya tegaskan, mesej kita hari ini jelas kepada pemberi dan penerima rasuah, supaya elakkan rasuah. Itu yang penting,” katanya.

Ditanya perkembangan kes siasatan membabitkan bekas pengarah kastam ditahan SPRM di Kelantan kerana mengetuai sindiket penyeludupan, Paddy berkata, perkara itu diserahkan kepada SPRM kerana ia masih dalam siasatan.

Mengulas isu sama, Ketua Pengarah SPRM, Latheefa Koya berkata, pihaknya kini sedang memberi tumpuan kes rasuah membabitkan penyeludupan, perhutanan dan perlombongan.

“SPRM serius dan kami amat gembira kerana dapat kerjasama daripada pimpinan tertinggi jabatan kerajaan.

“Tidak kisahlah sama ada libatkan pegawai sendiri atau tidak, SPRM dapat kerjasama (JKDM) untuk tangkap dan siasat pegawai mereka sendiri,” katanya.

Menjawab soalan wartawan berkaitan kes penyeludupan rokok, haiwan dan barangan kawalan yang hilangkan cukai negara hingga RM5 bilion setahun, Latheefa berkata, jenayah penyeludupan sukar dikesan dan bukanlah dilakukan secara terbuka.

“Ia libatkan aliran maklumat diterima, bersekongkol dengan orang tertentu daripada bahagian penguatkuasaan.

“Sebab itu bagi kita kena ada ketelusan. Kita tidak tahu bagaimana dia (sindiket) tahu itulah masa untuk masuk ke sesuatu tempat, tahu reka bentuk setem duti (rokok), ini berpunca daripada kebocoran data daripada orang dalam, sebab itu perlukan kerjasama sebegini,” katanya.

Menjawab soalan wartawan mengenai cadangan hadiah wang RM30,000 kepada penyalur maklumat disarankan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Latheefa berkata, pihaknya mengalu-alukan apa sahaja inisiatif menggalakkan masyarakat menyalurkan maklumat.

Dalam perkembangan lain, Latheefa berkata, pihaknya berharap kerajaan akan mengumumkan berita baik kepada semua agensi penguatkuasaan pada bajet nanti dalam usaha meningkatkan ketelusan dengan perolehan aset atau peralatan mampu memudahkan proses siasatan dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 7:33 PM