Mohammad melawat pameran selepas merasmikan Kempen Pemilikan Rumah: Rumah Mampu Milik 2019 hari ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin
BERNAMA

REBAT tunai RM672,000 menanti pembeli rumah di bawah harga RM300,000 pada Kempen Pemilikan Rumah: Rumah Mampu Milik 2019 (HOC), sebagai salah satu penggalakan kepada pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, rebat itu akan diberikan melalui cabutan bertuah di sepanjang kempen tiga hari itu bermula hari ini dengan wang rebat itu datangnya daripada hasil kutipan sewa 42 gerai pameran yang mengambil bahagian.

“Rebat ini pertama kali ditawarkan. Kutipan ini (sewaan gerai) sepatutnya disalurkan kepada kementerian tetapi kali ini kita berikan kepada pembeli bertuah.

“Ini antara inisiatif HOC untuk menarik golongan B40 membeli rumah selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membantu golongan ini,” katanya ditemui selepas majlis perasmian kempen itu peringkat Zon Tengah di Kuala Lumpur hari ini.

Selain rebat itu, kempen bertemakan HOC300 itu turut menawarkan beberapa insentif lain kepada pembeli seperti diskaun sehingga RM30,000 melalui Skim Perumahan Mampu Milik.

Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) turut menawarkan diskaun dan rebat sehingga 30 peratus bagi projek terpilih selain baucar sehingga RM30,000 dalam bentuk peralatan elektrik dan perabot rumah kepada pembeli bertuah.

Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia juga menyediakan dana rumah mampu milik, bagi pendapatan isi rumah RM4,360 bagi rumah yang berharga sehingga RM300,000 pada kadar 3.5 peratus dengan tempoh pinjaman sehingga 40 tahun atau berusia 70 tahun menerusi bank berdaftar.

Menerusi kempen itu, Mohammad berkata, kementerian menyasarkan 60 peratus rumah daripada 12,438 unit rumah yang ditawarkan dengan nilai RM2.9 bilion, akan terjual.

“HOC300 ini menyasarkan jualan harga rumah berpatutan dan menarik iaitu dalam julat RM100,000 sehingga RM300,000 merangkumi Zon Tengah membabitkan lokasi Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak.

“Selepas ini, HOC300 akan diperluaskan penganjurannya ke Zon Utara, Zon Timur dan Zon Selatan bagi membolehkan lebih ramai rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah,” katanya.

Penganjuran HOC kali ini adalah hasil kerjasama kerajaan bersama PNB Development Sdn Bhd, Malaysia Resources Corporation Bhd (MRCB) membabitkan 42 gerai pameran meliputi enam pavilion agensi kerajaan, 32 pemaju perumahan swasta serta empat institusi kewangan serta khidmat nasihat.

Mereka yang berminat boleh kunjungi Pusat Membeli Belah NU Sentral Kuala Lumpur, bermula hari ini hingga Ahad ini dari 10 pagi hingga 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 9:58 PM