Dr Wan Azizah bergambar bersama pelajar selepas merasmikan MyBF di Shah Alam. FOTO Sairien Nafis
Khairul Azran Hussin


GENERASI muda digesa menyeimbangkan antara kemahiran teknikal, insaniah dan kecerdasan emosi yang tinggi untuk mendepani cabaran hidup.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perunding perniagaan antarabangsa Deloitte menggambarkan perubahan yang sangat pesat dan pantas dalam bidang teknologi terutamanya automasi dan inovasi, menuntut generasi muda mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran.

“Kemahiran yang dianggap penting masa kini adalah keupayaan adaptasi, komunikasi, agiliti dan kemampuan membuat penilaian.

“Adalah penting generasi muda membangunkan kecemerlangan diri dalam disiplin ilmu, berterusan membangunkan kemahiran insaniah, mengukuhkan murni ketimuran dan mengukuhkan pegangan agama dalam diri masing-masing.

“Tiada guna kita cemerlang dalam pendidikan tetapi menjadi seorang pencuri,” katanya.

Beliau berucap ketika merasmikan My Brighter Future (MyBF) di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam hari ini.

Hadir sama Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Tan Sri Leo Moggie; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan serta Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Syed Hussian Syed Junid.

MyBF yang diperkenalkan TNB melalui Yayasan Tenaga Nasional (YTN) mula memperkenalkan bantuan biasiswa kepada pelajar sejak 1993 dan membelanjakan lebih RM1 bilion untuk 12,000 penerima sehingga kini.

Pada tahun ini, MyBF masing-masing menawarkan dermasiswa kepada 1,000 pelajar untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di universiti awam; pengajian diploma di universiti awam dan pengajian diploma di politeknik serta 538 pelajar untuk pengajian sijil kolej komuniti.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata, inisiatif pemberian bantuan pendidikan oleh TNB adalah antara langkah proaktif dalam membantu keluarga berpendapatan terendah untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.

“Saya dimaklumkan TNB memperluas lagi skop tajaan dermasiswa MyBF dengan memberi tawaran kepada pelajar dari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), politeknik dan kolej komuniti.

“Langkah ini amat wajar dengan mengambil kira bahawa ramai pelajar daripada golongan B40 akan meneruskan pengajian mereka di institusi terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 10:53 PM