Kenyataan tular mengenai Taman Tema Sanrio Hello Kitty Town dan Thomas Town akan ditutup tahun depan.
Izlaily Nurul Ain Hussein


TAMAN Tema Sanrio Hello Kitty Town dan Thomas Town yang terletak di Puteri Harbour, Iskandar Puteri akan ditutup tahun depan.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung yang memaklumkan dua taman tema itu hanya beroperasi sehingga 31 Disember ini.

Beliau berkata, keputusan penutupan itu dibuat syarikat swasta berkenaan dan kerajaan negeri menghormati keputusan mereka.

“Saya difahamkan taman tema ini ditutup disebabkan kurang sambutan sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Liow berkata, penutupan taman tema itu mungkin memberi kesan kepada Tahun Melawat Johor 2020 namun beliau percaya ia tidak menjejaskan kedatangan pelancong ke negeri itu.

“Kerajaan negeri juga tidaklah bergantung kepada satu pihak atau produk pelancongan saja.

“Desaru Coast yang dilancarkan Julai lalu juga menawarkan pelbagai produk pelancongan seperti taman tema air, hotel dan padang golf berjenama antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, Johor juga dalam usaha mempromosikan eco-tourism serta tarikan pelancongan yang berasaskan alam selain pelancongan perubatan.

Beberapa hari lalu, penutupan taman tema itu sudah hangat diperkatakan apabila beberapa poster ‘farewell’ turut dikongsikan laman rasmi Facebook (FB) taman tema itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 12:26 AM