Kereta mewah yang terbakar di Jalan Tun Ahmad Zaidi semalam. FOTO Erika George
Erika George

LELAKI nyaris rentung selepas kereta mewah jenis Audi Sport dipandunya merempuh tiang lampu lalu terbakar di Jalan Tun Ahmad Zaidi, Bintulu semalam.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, pemandu yang juga lelaki berusia 25 tahun sempat keluar daripada kereta dengan bantuan orang ramai yang lalu di kawasan terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian berlaku apabila kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan dan merempuh tiang lampu sebelum terbakar.

“Mangsa yang bekerja sendiri dalam perjalanan dari Medan Jaya menuju ke pusat bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 12.45 tengah malam.

Katanya, kebakaran itu memusnahkan kereta berkenaan dan mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Bintulu.

“Kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 manakala kereta itu sudah dibawa ke Balai Polis Trafik bagi pemeriksaan Puspakom,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 1:11 AM