Penguat kuasa memeriksa penunggang motosikal dalam Operasi Bersepadu hari ini. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Penguat kuasa memeriksa penunggang motosikal dalam Operasi Bersepadu hari ini. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Khairul Najib Asarulah Khan


SEBANYAK 577 notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dalam Operasi Bersepadu JPJ WPKL Siri Ke-3 di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) selepas Plaza Tol Awan Besar Timur, Kuala Lumpur hari ini.

Pengarah JPJ WPKL Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, operasi bermula 8 hingga 12 tengah malam itu membabitkan 178 anggota dan pegawai daripada enam agensi.

Menurutnya, antara agensi terbabit ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pusat Pemeriksaan Berkomputer (PUSPAKOM) serta JPJ WPKL.

“Kita memeriksa 2,280 kenderaan dan mengeluarkan 577 notis saman atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada cermin sisi, ubah suai nombor pendaftaran serta kesalahan lain.

“Selain itu, 25 motosikal turut disita kerana cukai jalan tamat tempoh lebih daripada setahun.

“Dari Januari hingga September, JPJ WPKL sudah mengeluarkan 69,461 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya,” katanya ditemui selepas operasi itu.

Dalam pada itu, Ismail berkata, JIM turut menahan tujuh warga asing iaitu lima lelaki dan dua wanita terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia dan Kemboja atas pelbagai kesalahan imigresen seperti tidak mempunyai dokumen perjalanan serta tinggal lebih masa.

“AADK pula menahan lelaki berusia 24 tahun disebabkan positif methamphetamine selepas membuat ujian saringan awal air kencing terhadap 25 individu.

“Selain itu, JAS mengesan empat kesalahan selepas memeriksa 25 kenderaan perdagangan dan polis trafik pula mengeluarkan 70 notis selepas memeriksa 195 kenderaan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan kerap menjalankan operasi bersepadu supaya dapat mendisiplinkan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 1:31 AM