PELABUR Bestino menunggu keputusan di luar Mahkamah Tinggi Ipoh, semalam.
Shamsul Kamal Amarudin


IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh sekali lagi menolak permohonan 6,764 pelabur mendapatkan kembali wang pelaburan mereka berjumlah RM411 juta dan dividen dalam syarikat pelaburan emas, Bestino Golden House Sdn Bhd (Bestino).

Hakim Datuk Hashim Hamzah membuat keputusan itu, semalam selepas selesai meneliti hujahan peguam plaintif dan defendan sebelum ini.

Pada 27 Oktober 2017, mahkamah sama menolak permohonan pelabur terbabit dengan alasan pelabur sepatutnya mengambil tindakan terhadap syarikat Bestino bukan terhadap ahli lembaga pengarah dan pemegang saham.

Berikutan itu, semua pelabur terbabit membuat rayuan di Mahkamah Rayuan. Mahkamah itu pada 21 September tahun lalu membenarkan permohonan plaintif dan mengarahkan kes itu didengar semula di Mahkamah Tinggi Ipoh.

Perbicaraan semula kes berkenaan berlangsung pada 15 dan 16 Mei lalu.

Semua pelabur terbabit sebelum ini memfailkan permohonan pada 2014 menggunakan nama Bestino Group Berhad sebagai plaintif dan menamakan dua ahli lembaga pengarah serta dua pemegang saham majoriti syarikat itu sebagai defendan.

Defendan dalam kes berkenaan ialah dua ahli lembaga pengarah iaitu Chong Yuk Ming, 55, dan Chang Kuei Geh, 63, serta dua pemegang saham majoriti, Goon Koon Lee, 54, dan Ho Chee Cheong, 47.

Plaintif diwakili Yudistra Darma Dorai dan Christopher Anand manakala defendan diwakili R Raj Shankar serta K Kumaran.

Pada Februari 2011, empat pengarah Bestino dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas 322 tuduhan pengubahan wang haram RM156.2 juta dan lima tuduhan menerima deposit tanpa lesen dalam tempoh dua tahun syarikat itu beroperasi.

Bank Negara Malaysia pula merampas aset syarikat itu mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan embiayaan Keganasan 2011 (AMLATFA) berjumlah RM24.2 juta sebagai bahan bukti.

Bagaimanapun, pada 31 Oktober 2017, Mahkamah Sesyen Ipoh membebaskan empat individu terdiri daripada pengarah dan pemegang saham majoriti syarikat itu daripada semua tuduhan berkenaan tanpa dipanggil membela diri.

Hakim S Indra Nehru ketika itu dilaporkan berkata, keputusan dibuat selepas meneliti semua keterangan saksi dan mendapati pihak pendakwaan gagal mengemukakan kes prima facie terhadap tertuduh.

Sementara itu, wakil pelabur, A Gopala Nair, 68, berkata, mereka akan kembali membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan diperoleh semalam.

“Kami akan berjuang sehingga titisan darah terakhir demi mendapatkan kembali wang pelaburan.

“Ramai daripada kami menggunakan keseluruhan wang imbuhan persaraan, KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan simpanan untuk melabur dalam skim ini,” katanya.

Menurutnya, tiba masanya kerajaan mewujudkan undang-undang melindungi pelabur minoriti seperti mereka seperti dilakukan di negara maju seperti Switzerland.

Ini kerana banyak kes syarikat pelaburan disiasat dan dikenal pasti tidak sah oleh Bank Negara manakala wang pelaburan pelabur minoriti tidak diperoleh semula.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 6:20 AM