GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Balqis Jazimah Zahari


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengalu-alukan sebarang usaha atau tindakan mengharamkan promosi dan penjualan vape atau rokok elektronik dalam talian.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, ia kerana pihaknya memandang serius masalah penagihan rokok elektronik itu dan bersetuju terhadap sebarang usaha bagi mengurangkan penjualannya.

“Ketika ini kita sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan bagi mereka yang menjual cecair rokok elektronik yang mempunyai nikotin kerana ia dilarang di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ini usaha yang berterusan untuk kita menyekat mereka yang menjual cecair rokok eletronik yang mengandungi nikotin,” katanya selepas merasmikan program Seminar Keperluan Khas Sepanjang Hayat di Hospital Fatimah, Ipoh, hari ini.

DR Lee (kanan) menerima cenderahati daripada Presiden Rotary Club Kinta, Gnanasagaran (kiri) selepas Seminar Keperluan Khas Sepanjang Hayat. FOTO Abdullah Yusof
DR Lee (kanan) menerima cenderahati daripada Presiden Rotary Club Kinta, Gnanasagaran (kiri) selepas Seminar Keperluan Khas Sepanjang Hayat. FOTO Abdullah Yusof

Sebelum ini, Kementerian Telekomunikasi dan Multimedia dilaporkan sedang mempertimbang untuk mengharamkan promosi dan penjualan rokok elektronik dalam talian.

Menterinya, Gobind Singh Deo dilaporkan berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan KKM dan SKMM.

Dr Boon Chye berkata, kerjasama akan dijalankan secara berterusan dengan pelbagai pihak bagi memastikan penjualan rokok eletronik tidak berleluasa terutama kepada kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 2:17 PM