Redzuan Muharam


KEBOLEHAN bertutur dalam bahasa Mandarin digunakan pesara guru, Ropia’ah Othman, 59, untuk berkongsi ilmu yang ada dengan mengadakan kelas secara santai sejak empat minggu lalu.

Meskipun sekadar suka-suka, inisiatif Ropia’ah mendapat perhatian warganet apabila rakaman videonya mengajar tular di Twitter dan beberapa laman sosial lain sejak semalam.

Menerusi rakaman video berdurasi dua minit dua saat itu, Ropia’ah dilihat menulis perkataan bahasa Mandarin di papan putih bagi mengajar sekumpulan wanita cara menyebutnya dengan betul.

Rata-rata warganet memuji kebolehan Ropia’ah bertutur dalam bahasa Mandarin dan kesungguhannya mengajar kumpulan wanita berkenaan.

Bercerita lanjut, Ropia’ah berkata, kelas itu diadakan atas permintaan kumpulan wanita yang juga rakannya selepas mengetahui kebolehannya berbahasa Mandarin.

“Sebenarnya, saya dan mereka sama-sama mengikuti kelas al-Quran di pusat berkenaan (pusat mengaji warga emas Taman Cempedak, Tasek Gelugor, Pulau Pinang) di bawah bimbingan seorang ustazah (Haryati Arshad).

“Pada satu hari, kami diminta menulis nombor dalam bahasa Arab di papan putih tetapi saya tulis dalam bahasa Mandarin.

“Sejak itu, mereka menyedari kebolehan saya dan meminta saya mengadakan kelas Mandarin kerana minat dan mahu mahir bertutur bahasa berkenaan.

“Melihat kesungguhan mereka, saya setuju mengajar tetapi hanya sekali dalam seminggu iaitu pada Jumaat jam 9.30 pagi selepas kami semua selesai mengikuti kelas tajwid,” katanya yang mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC).

Ibu enam anak itu berkata, buat masa ini, dia hanya mengajar suku kata dan cara membuat ayat serta menyebut sesuatu perkataan asas dengan betul.

“Jujurnya, saya kagum dengan mereka kerana cepat belajar dan boleh menyebut sesuatu perkataan dengan betul walaupun tiada asas dalam bahasa Mandarin.

“Itu sudah memadai kerana sekurang-kurangnya, mereka faham dan boleh bertutur dalam bahasa ketiga kerana ia sebenarnya satu kelebihan yang berguna untuk masa depan.

“Daripada sudut lain, dapat pahala kerana berkongsi ilmu yang baik dengan orang lain,” katanya yang sebelum ini mengajar di SJKC Chin Hwab, Pinang Tunggal, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Ropia’ah berkata, dia hanya mengetahui mengenai penularan video berkenaan selepas dimaklumkan anak bongsu, Aina Zulaikha Sobri, 21.

“Video itu dirakam ustazah Hayati dan saya berkongsi rakaman (video) itu di kumpulan Whatsapp keluarga untuk tontonan mereka.

“Tak sangka pula, anak saya memuat naiknya di Twitter hingga mendapat tontonan ramai dan pelbagai maklum balas daripada warganet,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 9:13 PM
ROPIA’AH (kiri) mengajar bahasa Mandarin secara sukarela untuk berkongsi ilmu. FOTO ihsan Ropia’ah Othman
ROPIA’AH (kiri) mengajar bahasa Mandarin secara sukarela untuk berkongsi ilmu. FOTO ihsan Ropia’ah Othman