SEKUMPULAN 16 nelayan Vietnam terjun dan berenang sejauh 100 meter sebelum memanjat tangga pelantar minyak dalam usaha melarikan diri bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan kumpulan terbabit tidak berhasil apabila mereka ditahan ketika berada di tangga pelantar berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, kejadian berlaku ketika nelayan asing terbabit melakukan penangkapan ikan secara haram di lokasi 108 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, jam 9.57 pagi.

Katanya, kehadiran nelayan terbabit di kawasan berkenaan dikesan kapal APMM yang menjalankan rondaan Op Naga Barat dan Op Iman di perairan berhampiran pelantar Begading.


NELAYAN warga Vietnam panjat tangga pelantar minyak Begading elak ditahan APMM. FOTO Ihsan APMM

“Menyedari kehadiran kapal APMM, nelayan terbabit cuba melarikan diri dengan menaiki bot menghala ke pelantar terletak kira-kira lima batu nautika dari kawasan mereka menangkap ikan.

“Sebaik menghampiri pelantar, semua nelayan termasuk tekong berusia 15 hingga 47 tahun terjun ke laut dan berenang menghala ke pelantar Begading serta membiarkan bot mereka hanyut,” katanya.

Menurutnya, tindakan kumpulan nelayan terbabit disedari pekerja pelantar yang membantu membawa anggota maritim naik ke pelantar menggunakan kren sebelum menahan semua nelayan asing terbabit.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati semua nelayan asing terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut.


RASHIDILHADI (tiga dari kanan) memeriksa awak-awak bot nelayan Vietnam bersama tekong yang ditahan. FOTO Imran Makhzan.

“Kami turut merampas hasil tangkapan, minyak diesel, bot dan peralatan menangkap ikan yang semuanya dianggarkan bernilai hampir RM1 juta.

“Bot terbabit dibawa ke Jeti APMM Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) (a) 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah,” katanya.

Beliau berkata, sejak 26 April 2019 hingga semalam, pihaknya membuat 1,967 pemeriksaan dan 112 tangkapan merangkumi pemeriksaan dan tangkapan daripada pelbagai agensi terbabit menerusi Op Naga Barat Siri 1/2019.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 7:45 AM