ANTARA PATI yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah PATI di sekitar ibu negara, kelmarin dan semalam. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 102 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah PATI di sekitar ibu negara, kelmarin dan semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, operasi itu disertai yang 182 pegawai kanan, pegawai serta anggota polis Kuala Lumpur selain pegawai daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bermula 4 petang kelmarin sehingga 5.30 pagi semalam.

“Operasi itu dilakukan di sekitar Jalan Berangan, Jalan Alor, Sky Resident, Jalan Sultan, Petaling Street, Jalan Sepadu Klang Lama, Jalan 24/7 Taman Desa Sri Hartamas, Bukit Jalil, Taman Miharja, Taman Desa Petaling, Bandar Tasik Selatan (TBS), Taman Jinjang Baru, Jalan Union Sentul, Taman Metro Prima, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Kompleks Kota Raya, Taman Gembira dan Setapak.

“Seramai 280 warga asing diperiksa dalam operasi ini dan daripada jumlah itu, 102 PATI ditahan. Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh (35); Myanmar (15); Indonesia (26); India (3); Pakistan (6); Nepal (13); Nigeria (1) dan Syria (3),” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan kerana didapati menganjurkan judi haram dan empat lelaki warga Bangladesh yang juga pemain.

“Kegiatan bermain judi itu dilakukan di kawasan tapak pembinaan baru. Dalam serbuan itu, kami merampas peralatan digunakan untuk berjudi dan wang tunai sebanyak RM2,118.

“Tindakan diambil terhadap semua PATI yang ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah dan akta-akta yang berkaitan. Bagi tangkapan berkaitan judi haram, ia akan disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus melakukan operasi seumpama itu dari masa ke masa bagi membanteras kebanjiran PATI yang didapati turut menyumbang ke arah kejadian jenayah di negara ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03 21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 8:29 AM