BANJIR melanda daerah Baling selepas hujan lebat, semalam. FOTO ihsan APM
BERNAMA

LIMA PULUH penduduk daripada 14 keluarga di Mukim Siong, Baling, yang dipindahkan kerana banjir malam tadi masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara, pagi ini.

Pegawai Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Baling, Lt Mohd Faizol Ab Aziz berkata, dua pusat pemindahan itu ialah Surau Kampung Seri Ketengga dan Dewan Orang Ramai Kampung Keda Batu 8 yang masing-masing menempatkan 25 mangsa daripada tujuh keluarga.

“Walaupun hujan sudah berhenti sejak tengah malam tadi, namun mangsa tidak dibenarkan pulang kerana faktor cuaca mendung yang memungkinkan berlaku hujan lebat petang ini.

“Pegawai daerah telah melakukan lawatan ke pusat pemindahan dan menyerahkan kotak makanan kepada mangsa di pusat pemindahan pagi ini,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Dua pusat pemindahan itu dibuka pada pukul 8 malam tadi selepas kediaman mangsa di sekitar Mukim Siong dinaiki air susulan hujan lebat yang bermula pada 4 petang.

Antara kampung yang terlibat di mukim tersebut ialah Kampung Batu 60, Kampung Bukit Sebelah, Kampung Bendang Sera, Kampung Bawah Gunung, Kampung Pokok Sena dan Kampung Lubuk Pedati​​​​​.

Sementara itu, Mohd Faizol berkata orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Pejabat APM di talian 04-4701546 atau Bilik Gerakan APM (24 Jam) di talian 04-4701626.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 11:17 AM