GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Sabran Md Sani


JABATAN Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) aktif menyiasat kes penjualan MyKad kepada warga asing.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ketiga-tiga pihak itu sentiasa berkomunikasi, berjumpa dan berkongsi maklumat berhubung kes berkenaan.

Katanya, ia susulan arahan kerajaan yang mahu perkara itu dihapuskan menerusi siasatan menyeluruh.

“Mereka, JSJ Bukit Aman, JPN dan JIM aktif berkomunikasi, berjumpa untuk mencungkil satu persatu.

“Arahan dapat daripada kerajaan supaya perkara ini, sebarang kemusykilan yang timbul berhubung perkara ini dihapuskan serta merta menerusi siasatan menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Siri 2/2019 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din dan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Shafie Ismail.

Beliau berkata, sehingga kini tiada tangkapan baharu membabitkan warga asing berhubung isu itu, namun perbincangan tiga agensi penting dan rancak dilaksanakan.

“Pasukan JSJ Bukit Aman sentiasa mendapat kerjasama JPN dan JIM, mereka sedang meneliti satu persatu kad pengenalan (MyKad) yang diragui.

“Ada ‘karekteristik’ dia orang mungkin dapat ‘zero-in’. Sekiranya mereka nak semak 33 juta rakyat Malaysia memang tak cukup, kecuali pakai ‘super komputer’ nak kesan.

“Tetapi JPN dan JIM ada ‘tanda’ atau pengetahuan mengensan individu terbabit yang mereka syak,” katanya.

Menurutnya, siasatan berterusan itu penting supaya tidak timbul syak dakwaan menyatakan berlaku penjualan kad pengenalan (MyKad), kewarganegaraan atau sijil kelahiran.

“Kita nak hapuskan keraguan berkenaan,” katanya.

Polis sebelum ini memburu saki-baki sindiket mendapatkan dokumen perjalanan dan dokumen pengenalan diri secara palsu, dipercayai didalangi pegawai kanan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang.

Setakat ini 20 suspek yang ditahan adalah mereka yang terbabit dalam membuat, memperoleh, memberi, menjual dan memiliki satu dokumen perjalanan diri palsu dengan tujuan memudahkan aktiviti keluar dan masuk ke negara ini oleh individu bukan warganegara Malaysia atau pemastautin tetap (PR).

Berita berkaitan:

  • Enam nafi jual MyKad, sijil kelahiran [METROTV]
  • Isu MyKad: RSN Rayer tarik diri bela Datuk
  • JPN usul wujudkan bank data DNA
  • Jual MyKad boleh dikenakan SOSMA - KPN
  • Jual MyKad: Peguam bantah kes ke Mahkamah Tinggi
  • 6 banggakan Imigresen
  • Pengkhianatan besar kepada negara
  • 1,000 miliki MyKad 'sah'
  • Warga segera
  • JPN kaji semula prosedur
  • Kesan 8 lagi MyKad palsu
  • JPN lakukan siasatan dalaman
  • Jual MyKad: Enam didakwa [METROTV]
  • Senyuman bongkar rahsia
  • 20 individu ditahan kes jual MyKad
  • Pegawai kerajaan jual MyKad
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 1:18 PM