SUSPEK (tengah) ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes dera bayi berusia empat bulan. FOTO IHSAN PDRM
Garret Dawum


DUA lelaki ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kes dera seorang bayi lelaki berusia empat bulan, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, kedua-dua suspek ditangkap sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu.

“Suspek pertama berusia 36 tahun ditahan Jumaat lalu dan kini direman selama lima hari untuk membantu siasatan.

“Susulan itu, suspek kedua berusia 20 tahun yang juga adik kepada ibu mangsa ditahan Sabtu lalu,” katanya dalam kenyataan di Sibu, hari ini.

Menurut Stanley, bayi terbabit mengalami pendarahan otak dan sudah menjalani pembedahan di Hospital Sibu.

“Keadaannya kini stabil tetapi belum sedarkan diri. Bayi itu dipercayai didera selepas neneknya berusia 47 tahun mendapati cucunya berada dalam keadaan lemah dan terdapat kesan kemerahan di dahi pada 11 pagi, Selasa lalu.

“Bayi itu kemudian dikejarkan ke hospital oleh neneknya dan terus mendapat rawatan di Zon Merah, Unit Kecemasan Hospital Sibu jam 12.35 tengah hari.

“Susulan itu, nenek mangsa membuat laporan polis atas nasihat pihak hospital kerana terdapat unsur penderaan pada bayi berdasarkan pemeriksaan dan pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan),” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 3:27 PM