ANTARA individu ditahan ketika serbuan polis di sebuah apartmen di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Mohd Azam Shah Yaacob dan Nurul Hidayah Bahaudin


BAYAR sekitar RM50 hingga RM100. Itu jumlah bayaran dikenakan penganjur parti liar kepada individu yang ingin menikmati pesta dadah ditawar menerusi aplikasi sosial.

Bagaimanapun, parti liar di sebuah apartmen di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur disertai 35 individu termasuk dua konstabel polis dan seorang anggota tentera diserbu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, 2.20 pagi semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, mereka yang ditahan itu membabitkan 25 lelaki dan 10 wanita berusia 18 hingga 31 tahun.

“Tiga individu ditahan adalah penjawat awam iaitu masing-masing seorang konstabel polis wanita dan lelaki serta seorang anggota tentera.

“Dalam serbuan itu juga polis turut menahan seorang penuntut sebuah universiti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan di ruang tamu rumah berkenaan menemui satu paket lutsinar mengandungi empat biji pil ekstasi dan satu pil erimin 5 di atas sofa.

Katanya, seorang daripada lelaki ditahan turut didapati memiliki satu paket plastik lutsinar mengandungi 29 pil ekstasi.

“Unit apartmen ini disewa salah seorang individu yang menganjur parti liar berkenaan dengan bayaran RM500.

“Bagaimanapun, dadah ditemui dibawa sendiri suspek yang menyertai parti,” katanya.

Mohd Khalil berkata, semua suspek dan barang dirampas dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Katanya, mereka direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 9 Oktober untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12 (3) dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 7:30 PM