PEMBINAAN perumahan di titik stesen prasarana memudahkan mobiliti rakyat.
Sofyan Rizal Ishak


PEMBINAAN rumah mampu milik perlu dilaksanakan di kawasan yang berdekatan titik dan stesen infrastruktur bagi memastikan ia benar-benar mampu memenuhi keperluan penduduk di negara ini terutama membabitkan golongan berpendapatan rendah (B40) dan pendapatan menengah (M40).

Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah, Ahyat Ishak berkata, sempena pembentangan Belanjawan 2020 11 Oktober nanti, kerajaan perlu mengambil kira lonjakan permintaan bagi hartanah di bandar berikutan peningkatan penduduk yang berhijrah ke bandar.

“Sebagai contoh, negara jiran iaitu Singapura membina apartmen untuk rakyat berpendapatan rendah berdekatan stesen MRT dan berada di kawasan berkepadatan tinggi, rumah bagi M40 dibina di kiri dan kanan stesen, manakala rumah bagi golongan berpendapatan tinggi (T20) berada jauh daripada stesen terbabit.

“Bagaimanapun, konsep pembinaan rumah mampu milik di Malaysia adalah berbeza di mana rumah paling mahal dibina paling dekat dengan stesen MRT sedangkan sepatutnya rumah mampu milik yang perlu dibina di situ,” katanya di sini.

Beliau berkata, jika rumah mampu milik dibina di pusat bandar yang menawarkan peluang pekerjaan utama, maka perlu ada rangkaian pengangkutan awam yang efektif dan menyeluruh.

“Bagaimanapun timbul soal kos di mana kerajaan boleh membina sistem pengangkutan awam seperti rel, namun jika tidak ramai menggunakannya maka ia menjadi perkara yang tidak logik dan tidak boleh dilaksanakan,” katanya.

Ahyat berkata, terdapat dua aspek dalam konsep rumah mampu milik yang perlu diambil kira iaitu pengiraan dan geografi di mana pengiraan bagi rumah itu adalah bersamaan tiga kali pendapatan median setahun berdasarkan kepada pengiraan yang mengggunakan teknik median multiple.

“Ini bermaksud jika gaji anda adalah sebanyak RM5,000 sebulan, maka rumah mampu milik anda adalah RM60,000 (pendapatan setahun) dikali dengan tiga yang memberi
jumlah RM180,000.

“Ini bermakna rumah yang layak dibeli adalah sekitar RM180,000 dan ia jelas ia tidak selari kerana jika di sekitar Lembah Klang, rumah flat kos rendah di kawasan seperti di Shah Alam dan Kota Damansara boleh mencecah RM200,000.

“Rumah mampu milik juga sepatutnya perlu berada dalam tempoh satu jam perjalanan sehala ke tempat kerja dan jika tempoh lebih daripada itu, maka ia menjadi kos tidak efektif kepada pemilik rumah,” katanya.

Menurutnya, harga rumah mampu milik juga perlu dinilai berdasarkan median pendapatan bagi setiap negeri kerana ia memiliki kekuatan pendapatan berbeza dan tidak boleh diseragamkan secara keseluruhan bagi seluruh negara.

Sementara itu, Ahyat berkata, golongan sasar bagi rumah mampu milik di negara ini perlu lebih jelas bagi memastikan ia dapat memenuhi keperluan setiap golongan B40 dan M40.

Beliau berkata, sepatutnya rumah kos rendah disasarkan kepada golongan B40 manakala, rumah mampu milik difokuskan kepada golongan M40.

“Rakyat pun keliru bila diminta mengulas mengenai rumah mampu milik. Jika rumah itu berharga RM300,000, sudah tentu golongan B40 tidak mampu memilikinya berikutan bayaran bulanannya antara RM1,300 hingga RM1,500,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 6:00 AM