X
KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Farhani Che Ad


PELAJAR sekolah maut selepas motosikal dinaiki bersama adiknya dirempuh sebuah lagi motosikal lain dalam kemalangan di Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau, di Sungai Petani, semalam.

Dalam kejadian 8.45 malam itu, mangsa, Ahmad Alif Hakimi Muhamad Ghazale, 17, yang menunggang motosikal terbabit maut di lokasi kejadian akibat parah pada bahagian dalaman badan.

Pembonceng motosikal yang juga adik lelaki mangsa , Nur Aiman Hakimi, 15, dilaporkan cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan mendapati mangsa menyusur keluar dari kiri jalan merentasi tengah laluan jalan sebelum bertembung dengan sebuah motosikal lain di laluan bertentangan.

Menurutnya, motosikal ditunggang remaja 16 tahun itu dilaporkan dari Sungai Lalang menghala ke Bukit Selambau sebelum merempuh mangsa.

“Akibat perlanggaran yang kuat menyebabkan kedua-dua motosikal berpusing dan tercampak ke tengah laluan jalan.

“Remaja berusia 16 tahun itu dilaporkan parah,” katanya

Beliau berkata kedua-dua mangsa cedera dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di Sungai Petani, untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 10:37 AM