GAMBAR hiasan
Farah Suhaidah Othman


POLIS berpangkat Inspektor ditahan selepas dipercayai mengamuk dan melepaskan tembakan terkena kaki seekor anjing berpunca daripada pergaduhan dengan tunangnya di sebuah rumah di Taman Merdeka, di Ipoh, semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, suspek berusia 29 tahun yang sebelum ini bertugas di Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Ipoh, ditahan Unit Peronda Polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, tujuh minit selepas kejadian itu berlaku.

Difahamkan, suspek yang melaporkan diri di Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Wang Kelian, pada 4 September lalu dipercayai tidak menghadirkan diri untuk bertugas.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, siasatan mendapati suspek pergi ke rumah tunangnya dengan menaiki motosikal motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.

“Berlaku pergaduhan dan pergelutan antara suspek dengan tunangnya, pegawai berkenaan dipercayai melepaskan tembakan dengan menggunakan pistol dibekalkan kepadanya ketika bertugas di ICQ berkenaan.

“Tembakan itu bagaimanapun terkena kaki seekor anjing peliharaan di rumah berkenan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Ipoh di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di Ipoh, hari ini.

Razarudin berkata, tindakan pantas anggota MPV yang tiba di lokasi kejadian dalam masa tujuh minit selepas menerima maklumat itu berjaya menahan suspek dan merampas senjata api serta kelongsong peluru terbabit.

“Siasatan lanjut mendapati suspek tidak puas hati dengan tunangnya yang mahu memutuskan pertunangan sehingga mengakibatkan pergaduhan berkenaan.

“Perintah reman akan dipohon hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 11:21 AM