GAMBAR HIASAN
Siti Azila Alias


DENDAM dan berebut kawasan kemungkinan menjadi punca seorang lelaki ditembak dalam kejadian di hadapan sebuah pangsapuri di Taman Inderawasih, Perai, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan itu kerana hasil siasatan awal dan semakan mendapati mangsa mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

Menurutnya, polis juga sudah menahan dua rakan mangsa berusia 26 dan 29 tahun yang turut berada di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati mangsa ada rekod dadah dan kejadian mungkin disebabkan kerana berebut kawasan, namun siasatan terperinci sedang dijalankan.

“Semakan terhadap kenderaan digunakan suspek juga mendapati ia menggunakan nombor pendaftaran palsu yang didaftarkan ke atas sebuah motosikal,” katanya ketika ditemui pada program ‘Penang Heart Safe with Polis Diraja Malaysia (PDRM)’ dan penyerahan peralatan Defibrilator Luaran Automatik (AED) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgetown, hari ini.

Turut hadir EXCO Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Dr Afif Bahardin dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Asmayani Khalib.

Pada program itu, PDRM menerima peralatan AED daripada badan bukan kerajaan (NGO), Lions Club of Georgetown Central bagi kegunaan bantuan kecemasan.

Mengulas lanjut, Narenasegaran berkata, polis juga tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan senjata jenis revolver untuk menembak mangsa berikutan tiada kelongsong ditemui di lokasi.

Dalam kejadian jam 2.08 pagi semalam, pemandu forklift berusia 26 tahun itu cedera selepas ditembak individu tidak dikenali.

Sebelum itu, mangsa bersama empat rakannya berbual di kawasan perumahan terbabit sebelum terlihat sebuah Proton Waja berlegar-legar di situ.

Curiga dengan tindakan pemandu kereta itu, mangsa dan rakannya kemudian bertindak mengejar kenderaan terbabit namun, pemandunya terus memecut laju.

Pada masa sama, sebuah lagi kenderaan jenis Perodua Myvi datang dan memintas motosikal mangsa sebelum seorang daripada suspek yang berada di tempat duduk penumpang melepaskan tembakan dan mengenai lengan dan perutnya.

Berita berkaitan

Tiba-tiba kena tembak

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 1:08 PM