ANTARA barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan Polis
Shamsul Munir Safini


TERTEKAN kerana hutang membuatkan seorang lelaki memecah masuk dan mencuri wang di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), di Bukit Mertajam, semalam.

Dalam kejadian 4 pagi itu, lelaki berusia 32 tahun terbabit yang juga bekas pekerja memecah masuk pejabat premis menggunakan kunci pendua yang dibuatnya ketika kali terakhir bekerja di situ pada Mei tahun ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kejadian disedari salah seorang pekerja yang mendapati wang jualan milik syarikat yang disimpan dalam peti besi dan laci pejabat hilang.

“Susulan itu, mereka membuat pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mengesan seorang lelaki masuk ke pejabat dan mengambil wang tunai berjumlah RM20,488.80.

“Susulan laporan yang dibuat, polis menahan suspek di sebuah rumah di Flat Taman Haji Mohd Amin, Permatang Pauh, 11.40, malam tadi,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis menemui sejumlah wang tunai, pakaian dan peralatan digunakan ketika memecah masuk stesen minyak terbabit.

Nik Ros Azhan berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku memecah masuk premis terbabit dengan menggunakan kunci pendua yang dibuat ketika dia bekerja di situ sebelum ini..

“Suspek tahu kedudukan wang tunai disimpan dan melarikan wang berkenaan untuk membayar hutang,” katanya.

Menurutnya, suspek direman sehingga 9 Oktober dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 3:01 PM