LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


WANITA warga emas yang ditemui maut dalam keadaan tangan berikat di rumahnya di flat di Tasik Tambahan Ampang, Ampang, pada 19 September lalu dipercayai diserang secara seksual.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, hasil pemeriksaan dilakukan di lokasi, pihaknya menemui kesan air mani.

“Berdasarkan penemuan itu, kami tidak menolak kemungkinan mangsa berusia 85 tahun berkenaan diserang secara seksual,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, hari ini.

Noor Azmi berkata, pihaknya sudah mengenal pasti identiti suspek dalam kes berkenaan berdasarkan penemuan cap jari di lokasi.

“Kami sedang mengesan seorang lelaki yang juga gelandangan berusia 30-an dipercayai terbabit dalam kes ini.

“Semakan mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod membabitkan kes jenayah dan dadah,” katanya.

Beliau berkata, anak lelaki mangsa berusia 61 tahun yang sebelum ini ditahan, sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Anak lelaki mangsa ditahan reman selama empat hari sebelum ini untuk membantu siasatan dan dia didapati mempunyai beberapa rekod membabitkan kes jenayah dan dadah.

“Bagaimanapun, dapatan siasatan dilakukan terhadap lelaki berkenaan didapati negatif,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan mayat wanita warga emas terbabit ditemui anak lelakinya dalam keadaan diikat tangan di belakang dan bahagian kepala ditutup dengan kain.

Hasil bedah siasat dilakukan mendapati punca kematian mangsa disebabkan lemas.

Berita berkaitan:

  • Mati tertiarap, dua tangan diikat
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 4:52 PM