NORAINI menunjukkan dinding dapur yang reput di tempat mereka menumpang teduh di RPT Kesedar, Limau Kasturi.
Ramli Ibrahim


GUA MUSANG: Dapur usang di sebuah rumah penduduk di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar, Limau Kasturi di sini, menjadi tempat berteduh Noraini Mamat, 47, bersama dua anak perempuannya berusia tujuh dan 11 tahun sejak 2014.

Ibu tunggal ini mendakwa menyewa bahagian dapur berkenaan pada kadar RM50 sebulan selepas suaminya meninggal dunia lima tahun lalu.

Noraini berkata, kerana kesempitan hidup dia menyewa dapur berkenaan meskipun ruangnya sempit dan papan dinding reput.

“Saya tak kisah dengan keadaan dapur ini asalkan kami bertiga ada tempat untuk berteduh. Saya tak mampu menyewa sebuah rumah yang dianggarkan RM100 sebulan.

“Pendapatan saya tak besar kerana hanya mengambil upah menoreh getah,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, sebelum ini dia bersama arwah suami dan dua anak tinggal di sebuah bangsal di pinggir sungai di kampung itu yang berhampiran dengan tempatnya menoreh getah.

Katanya, bangsal berkenaan roboh akibat banjir besar pada Disember 2014, berikutan itu mereka mencari tempat lain untuk berteduh.

“Suami meninggal dunia akibat asma, sejak itu kami tiga beranak hilang tempat bergantung dan menyewa ruang dapur rumah seorang penduduk,” katanya.

Dia memberitahu, dua anak perempuannya yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 2 menerima bantuan RM200 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bantuan itu hanya cukup untuk menampung belanja persekolahan anak, barangan dapur pula dibeli menggunakan wang hasil upah menoreh getah,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian di akaun Bank Islam 03063020315165 atas nama Noraini Mamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 5:40 AM