FOTO Hiasan
Siti A’isyah Sukaimi


BERMULA awal tahun depan, kerajaan bakal memperkenalkan ganjaran diskaun tanpa tuntutan (NCD) insurans kenderaan kepada pengguna jalan raya yang berhemah dan mempunyai rekod bersih daripada sebarang kesalahan trafik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perbincangan mengenai perkara itu sudah dibuat bersama pihak industri insurans malah mekanisme mengenainya hampir siap.

“Memang sudah dibincangkan di Kementerian Pengangkutan bersama pihak industri insurans. Harapan saya supaya dapat dilaksanakan mulai awal tahun depan, jadi saya akan umum hujung tahun ini.

“Kita memerlukan data Mysikap dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan pengguna tidak ada saman dalam tempoh setahun bagi mendapatkan diskaun tambahan ini,” katanya kepada pemberita pada Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) di Sepang, hari ini.

Mei lalu, Siew Fook dilaporkan berkata, perbincangan antara Kementerian Pengangkutan dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) mengenai cadangan memberi diskaun bayaran premium insurans kereta kepada pemandu berhemah kini di fasa terakhir.

Beliau dilaporkan berkata, cadangan ganjaran itu berbentuk pengurangan premium insurans kepada pemandu yang mempunyai rekod bersih daripada saman atau kesalahan jalan raya.


MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 60 Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) di Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC) KLIA. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Sementara itu, Siew Fook berkata, pelaksanaan ganjaran itu bukan saja dapat mengurangkan statistik kesalahan malah turut mengurangkan kos sara hidup dihadapi pengguna yang menikmati diskaun berkenaan.

“Untuk pihak industri insurans, ia juga baik dan mewujudkan situasi ‘menang-menang’ kerana jika persekitaran jalan raya lebih baik dan kemalangan dapat dikurangkan, tuntutan insurans juga dapat dikurangkan.

“Syarikat insurans dapat keuntungan besar jadi, tidak rugi memberi diskaun dan ini juga satu cara kita dapat integrasi usaha bersama pelbagai pihak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan bersedia untuk mengawal selia van sekolah tidak berlesen yang beroperasi secara haram bagi membawa pelajar pergi dan balik dari sekolah.

“Saya lebih cenderung untuk melihat bagaimana kawal selia supaya van ini dapat dipastikan keselamatannya kepada pelajar. Saya sudah minta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengawal selia.

“Kita sedia mengawal selia supaya van ini ada peraturan yang perlu dipatuhi tetapi ia tidak termasuk kereta persendirian misalnya, menumpang kereta jiran untuk ke sekolah kerana sasaran kita adalah pengusaha van sekolah tidak berlesen,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan laporan yang memetik maklumat Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) iaitu ada lebih 50,000 van, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kereta beroperasi secara haram mengangkut murid serta kanak-kanak kelas prasekolah di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 1:59 PM