Dr Mahathir menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke-74 di New York 27 September lalu. FOTO Bernama

KEMPEN #BoycottMalaysia di Twitter tidak menjejaskan kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa serta hubungan dua hala Malaysia dan India.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau yakin kempen boikot sebagai tindak balas kepada ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-74 di New York yang menyentuh isu Jammu dan Kashmir itu, kini semakin menurun.

“Saya yakin boikot itu semakin menurun, boleh kata dah tak ada pada hari ini.

“Saya yakin ia tidak menjejaskan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa.

“Saya juga yakin ia tidak menjejaskan hubungan dua hala antara Malaysia dan India,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang ingin tahu pendirian Malaysia terhadap kempen berkenaan pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin menegaskan, dasar luar Malaysia adalah dasar luar yang berkecuali iaitu ingin berkawan dan berdagang dengan semua negara kecuali Israel.

Beliau berkata, Malaysia tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman sesebuah negara namun dalam hal tertentu harus membuat keputusan.

“Sebagai contoh yang selalu diberikan oleh Perdana Menteri, suatu ketika dulu dua juta rakyat Cambodia dibunuh, berlaku pembunuhan beramai-ramai dan dunia senyap tak berbuat apa-apa.

“Kerana itu dalam isu Rohingya kita bersuara lantang dan kita memainkan peranan proaktif dan khusus membantu.

“Begitu juga dalam isu Kashmir, sementara kita menjaga hubungan dua hala, dari segi politik, ekonomi dan sosiobudaya antara Malaysia dan India tetapi takkanlah kerana hubungan diplomasi perlu dijaga sehingga kita tidak mengambil apa-apa peranan seandainya berlaku sesuatu yang menggugat sesuatu yang menusuk kalbu.

“Ini bukan saja soal umat Islam tetapi golongan mustadafin, (atau) golongan yang tertindas kita harus bersuara, cuma kaedah kita bersuara itu haruslah bijaksana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 2:12 PM