Dasar Kebersihan Negara akan dilancarkan November ini. FOTO Arkib NSTP

BAGI menjadikan Malaysia negara bersih, mampan dan sejahtera melalui pembudayaan amalan kebersihan, Dasar Kebersihan Negara akan dilancarkan November ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, dasar itu akan membabitkan penguatkuasaan yang lebih tegas untuk memastikan rakyat Malaysia patuh undang-undang.

“Pada 2015 Kerajaan Persekutuan melancarkan Pelan Transformasi Minda Ke Arah Negara Bersih, Indah dan Sejahtera 2015-2020.

“Ketika pelancaran pelan tindakan ini, Malaysia menduduki tangga ke-51 pada 2014.

“Namun demikian kedudukan Malaysia menurun ke bawah, 2016 jatuh ke 63, 2018 jatuh ke tahap 75.

“Walaupun indeks prestasinya boleh kita persoalkan namun kita tidak mahu dalam keadaan sindrom penafian, bahawa hakikatnya negara kita dalam keadaan kebersihan tidak memuaskan.

“Jadi di bawah kerajaan baharu insya-Allah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melancarkan Dasar Kebersihan Negara pada 3 November ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PH-Hulu Terengganu) yang bertanya berkenaan langkah terkini menjadikan Malaysia tersenarai antara 10 negara terbersih dunia menjelang 2020.

Zuraida berkata, pihaknya mengambil pendekatan yang lebih praktikal, dengan komuniti turut dilibatkan sama mengambil bahagian dalam menjaga kebersihan negara.

“Tak mungkin kalau kita hanya bergantung kepada penguatkuasaan di peringkat KPKT, di peringkat kerajaan tempatan, kalau kita gerakkan seluruh anggota tentera, polis, bomba tidak mungkin kita boleh menjaga dari segi rakyat Malaysia menjaga kebersihan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 3:08 PM