Laporan portal berita Harian Metro semalam.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


“ALIQ (Faliq Iman) tak suka biawak..biawak jahat.” Itu ayat yang sering keluar dari mulut Faliq Iman Mohd Fadhirul Izwan, 3, selepas insiden kanak-kanak itu diserang biawak di sebuah chalet di Kampung Salang, Pulau Tioman, semalam.

Bapa mangsa, Mohd Fadhirul Izwan Mat Saridan, 34, berkata, emosi anak tunggalnya itu dilihat sedikit terganggu dan sering mengelak untuk bercerita mengenai kejadian berkenaan.

Katanya, selepas dirujuk ke sebuah hospital swasta di Kuantan, Faliq Iman menjalani pembedahan kecil dan menerima 30 jahitan pada kakinya.

“Doktor memaklumkan terdapat jangkitan kuman pada kesan gigitan itu namun ia sudah dicuci dan Faliq diberikan antibiotik bagi mengelak kuman dari merebak.

“Doktor akan memantau keadaannya dalam tempoh dua (atau) tiga hari ini..jika tiada apa-apa mungkin dia dibenarkan pulang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fadhirul Izwan berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak kejadian itu berulang.

Dalam kejadian 12 tengah hari, Faliq Iman cedera kaki kanan selepas digigit reptilia itu ketika berada di bawah kaunter pendaftaran chalet berkenaan.

Bapa mangsa yang mendengar tangisan bertindak memijak biawak itu dua kali sebelum reptilia itu melepaskan gigitannya.

Kejadian itu kali kedua berlaku di pulau peranginan berkenaan selepas bayi perempuan berusia lapan bulan parah digigit reptilia itu pada 23 September 2014.

Sementara itu Pengarah PERHILITAN Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, biawak berkenaan tidak menganggap kanak-kanak lelaki itu sebagai makanannya sebaliknya merasakan dia sebagai ancaman atau halangan kepada reptilia itu.

“Saya difahamkan biawak itu sebelum ini pernah masuk ke dalam chalet itu untuk mencari anak kucing, mungkin reptilia itu merasakan mangsa sebagai halangan sebelum bertindak menggigitnya.

“Kita akan lebih kerap melakukan operasi atau kawalan populasi reptilia itu di pulau peranginan berkenaan bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, aduan terakhir yang diterima pihaknya berhubung ancaman biawak di pulau itu adalah 25 Jun lalu dan tindakan operasi sudah dilakukan pada hari sama.

Beliau menasihatkan penduduk supaya tidak melakukan provokasi atau mengganggu hidupan liar yang berada di kawasan berkenaan sebaliknya memaklumkan kepada pihaknya jika berlaku konflik antara manusia dan hidupan liar bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Berita berkaitan

Kaki budak 'terkoyak' digigit biawak

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 3:34 PM