Mohideen menunjukkan tahap kandungan merkuri dalam produk kosmetik pencerah kulit pada sidang media di Pejabat (CAP di Jalan Masjid Negeri, Georgetown, hari ini. FOTO Mikail Ong
Zuhainy Zulkiffli


WALAUPUN kerap didedahkan mengenai bahaya penggunaan produk kosmetik mengandungi merkuri, tahap kesedaran dalam kalangan pengguna masih rendah.

Malah, masih ada membeli dan menggunakannya walaupun penjualan produk mengandungi merkuri sudah diharamkan pihak berkuasa.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, sejak Januari lalu, mereka sudah menerima 500 aduan mengenai penjualan dan penggunaan produk mengandungi bahan kimia itu.

Beliau berkata, bertindak atas aduan itu, CAP membuat tinjauan di sekitar Pulau Pinang serta Kuala Lumpur dan mendapati produk mengandungi merkuri masih wujud di pasaran.

“Daripada hampir 30 produk, sembilan dikesan mengandungi merkuri antara 0.7 hingga 44,148 bahagian persejuta (bps).

“Sedangkan dalam ujian pada 1983, paras tertinggi merkuri dalam sampel diuji cuma 28,000 bps,” katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.

Mohideen berkata, penggunaan krim mengandungi merkuri dengan kerap boleh menimbulkan ruam, kulit berubah warna dan bertompok manakala keracunan kronik boleh berpunca daripada sentuhan kulit dan sebatian merkuri bagi tempoh lama.

Menurutnya, sakit perut teruk, muntah, mulut bertukar kelabu dan cirit-birit berdarah boleh berlaku sekiranya ia diserap dengan banyak.

“Bagi wanita pula, janin akan turut terjejas memandangkan merkuri boleh meresap ke dalam uri.

“Sehubungan itu, CAP menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengawasi semua kosmetik mengandungi bahan berbahaya yang boleh memudaratkan kesihatan di pasaran.

“Pihak berkenaan perlu menarik semula kosmetik sekiranya didapati berbahaya dan mengharamkan produk itu,” katanya.

Mengikut tinjauan di negara Asia, Afrika dan Amerika Latin, sebanyak 41 responden dari Malaysia dilaporkan menggunakan krim pencerah kulit.

Manakala 61 responden pula berpendapat, memiliki kulit cerah membuatkan mereka lebih muda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 4:32 PM