Skip this ad x
ANGGOTA JPJ menunjukkan laman sesawang JPJeBID dan bidaan plat nombor pendaftaran kenderaan siri MDF di Bilik Mesyuarat JPJ Melaka, Bukit Katil. FOTO RASUL AZLI SAMAD
Fairuz Zaidan


JANGAN pandang rendah pada ‘kuasa’ siri nombor pendaftaran kenderaan kerana bagi setengah kes, nombor siri yang asalnya dibuka pada harga RM300 boleh mencecah RM45,000 pada akhir bidaan JPJeBid.

Timbalan Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohd Hafiz Shamsani Othman berkata, sistem JPJeBid yang mula diperkenalkan 15 April lalu membuktikan tiada sebarang kawalan sepanjang tempoh lima hari bidaan dibuka membabitkan setiap nombor siri pendaftaran kenderaan.

“Mengambil contoh siri nombor pendaftaran ALL di Perak, tiada siapa menduga nombor pendaftaran ALL 117 yang asalnya dibuka bagi kategori nombor biasa berharga RM300 boleh mencecah sehingga RM45,000 pada akhir bidaan.

“Malah, siri nombor pendaftaran ALL di Perak turut mencatatkan hasil di luar jangkaan apabila mengutip sebanyak RM3,466,212,” katanya pada sidang media selepas melancarkan bidaan siri MDF melalui sistem JPJeBid di Pejabat JPJ Melaka, hari ini.

Hadir sama Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Sharif dan Pengarah Bahagian Korporat dan Perancangan Strategik JPJ, Yatim Nawawi.

Mengulas lanjut, Mohd Hafiz Shamsani berkata, faktor nilai sentimental bagi setengah nombor siri pendaftaran boleh mempengaruhi peningkatan nilai bidaan, selain bidaan tinggi terhadap nombor bernilai utama dan nombor menarik.

Beliau berkata, pengenalan sistem JPJeBid yang bermula di Putrajaya berjaya mencatatkan peningkatan hasil kepada kerajaan sehingga 200 peratus.

“JPJ mensasarkan RM1 juta kutipan bagi setiap siri nombor pendaftaran menggunakan sistem JPJeBid. Malah, kita turut menjangkakan sistem terbaharu ini akan digunakan sepenuhnya di seluruh negara mulai akhir tahun ini sebaik dilaksanakan di Selangor, Perlis dan Negeri Sembilan,” katanya.

Sejak diperkenalkan April lalu, sebanyak RM29,222,859 berjaya diperolehi JPJ melalui sistem JPJeBid yang kini sudah dilaksanakan di 10 negeri membabitkan 22 siri nombor pendaftaran bermula siri pertama di Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (11 siri), Sabah (2 siri) dan masing-masing satu siri di Pulau Pinang, Kedah, Johor, Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Terengganu.

Terbaharu, Melaka menjadi negeri ke-11 menggunakan sistem JPJeBid bagi siri ke-23 melalui siri nombor pendaftaran MDF yang akan dibuka mulai 10 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 7:10 PM