GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Khairul Najib Asarulah Khan


PEGAWAI kanan polis antara suspek yang ditahan dalam kes pemerasan berhubung perkhidmatan pengawal keselamatan di tapak pembinaan berdekatan Taman Salak Selatan di Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, setakat ini pihaknya sudah menahan empat lelaki, termasuk seorang pegawai kanan polis.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan termasuk ingin memastikan sekiranya ada unsur gengsterisme atau tidak.

“Kami memandang serius perkara ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Kepolisan Berprofil Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa.

MAZLAN (dua kiri) memberi taklimat mengenai pencegahan jenayah kepada orang ramai di Bukit Bintang. FOTO Aswadi Alias
MAZLAN (dua kiri) memberi taklimat mengenai pencegahan jenayah kepada orang ramai di Bukit Bintang. FOTO Aswadi Alias

Harian Metro difahamkan, empat lelaki termasuk anggota polis yang dipercayai berpangkat Inspektor itu ditahan kerana terbabit dalam aktiviti pemerasan di sebuah kawasan pembinaan di Brickfields, semalam.

Mereka yang berusia 30-an meminta sejumlah wang bagi melindungi tapak pembinaan daripada sebarang gangguan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai program hari ini, Mazlan berkata, kehadiran polis di kawasan tumpuan pelancong diharap dapat mengurangkan kes jenayah.

“Pendekatan itu juga dalam memastikan maklumat serta jurang antara polis bersama masyarakat lebih dekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 11:39 PM