ISA
Nor Azura Abdul Jalil


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, diberitahu seorang saksi Merdeka Palace Hotel & Suite (MPHS) di Kuching, Sarawak yang dibeli Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta sebenarnya bernilai RM80 juta.

Pemangku Ketua Pegawai Kewangan FICSB Azlan Mohamed Ismail berkata, ia selepas satu penilaian semula dibuat ke atas hotel itu pada 2017.

“Pada 2017, Lembaga Pengarah FICSB mengarahkan satu penilaian semula ke atas MPHS berdasarkan satu laporan pembelian hotel itu dibuat melebihi nilai sebenar.

“Selepas dinilai semula syarikat CH Williams Talhar Wong & Yeo Sdn Bhd, nilai semasa MPHS dianggarkan RM80 juta.

“Di samping itu, satu tender exercise bagi penjualan MPHS dibuat Saville Malaysia Sdn Bhd pada 2018.

“Dua tawaran pembelian diterima dan harga ditawarkan adalah pada RM69 juta dan RM85 juta. Bagaimanapun tawaran pembelian RM85 juta ditarik balik manakala tawaran RM69 juta dinaikkan kepada RM77.5 juta.

“Berdasarkan penilaian semula yang dibuat syarikat CH Williams Talhar Wong & Yeo Sdn Bhd, pada tahun kewangan 31 Disember 2016, satu impairment dibuat ke atas MPHS bernilai RM80 juta dan berdasarkan kepada tender exersice dibuat Saville Malaysia Sdn Bhd tahun kewangan 31 Disember 2018, nilai semasa MPSH diturunkan kepada RM77.5 juta.

“Oleh itu, boleh disimpulkan pembelian MPSH ini telah menyumbang kepada unrealized losses berjumlah RM82.5 juta kepada FICSB berdasarkan perbezaan harga pembelian pada RM160 juta dan harga semasa RM77.5 juta,” katanya.

Saksi keempat pendakwaan itu berkata demikian pada perbicaraan hari kedua kes bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad membabitkan pertuduhan pecah amanah dan rasuah berjumlah RM3 juta, tahun lalu.

Dalam keterangannya, Azlan berkata, unrealized losses ini ada dinyatakan di dalam penyata kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2016 dan Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2018.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz mengenai siapa ahli lembaga FICSB yang mengarahkan hotel itu dinilai semula, Azlan berkata, ia dibuat Pengerusi Felda sebelum ini, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan sembilan pengarah yang baru dilantik.

Bagaimanapun, Azlan berkata, sembilan pengarah itu tidak termasuk Isa Samad.

Mengenai status MPHS pula, Azlan memberitahu, ia belum terjual hingga kini.

Sementara itu, di awal prosiding, Azlan berkata, beliau mengetahui mengenai keputusan FICSB untuk membeli MPHS daripada Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) berjumlah RM160 juta.

Menurutnya, FICSB membuat lima transaksi pengeluaran wang RM160 juta antara 2014 dan 2015.

“Saya menerima arahan membuat pembayaran deposit 10 peratus iaitu RM16 juta bagi pembelian MPHS daripada Ketua Pegawai Operasi di bahagian Hospitaliti FICSB ketika itu, Datuk Megat Shahrul Azman dan diluluskan Ketua Pegawai Eksekutif FICSB ketika itu, Mohd Zaid Abdul Jalil. Bayaran dibuat pada 30 Jun 2014,” katanya.

Menurut Azlan, empat lagi transaksi termasuk bayaran RM43,126,938.77 kepada JANG assets Networking Group Ltd pada 25 September 2014, bayaran RM97,993,061 kepada GAPSB pada 29 Mei 2015, bayaran RM567,110.29 kepada FIC Kuching Properties Sdn Bhd pada 26 Oktober 2015 dan bayaran RM2,312,889.71 kepada GAPSB pada 23 Oktober 2015.

Ditanya adakah beliau mengetahui siapa ahli lembaga FICSB yang membuat keputusan membeli MPSH, saksi itu berkata, dia tidak pasti sebab tidak menghadiri mesyuarat itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 6:20 AM