KUALA LUMPUR 09 OKTOBER 2019. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir pada sambung bicara kes yang didakwa atas 25 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan di Mahkamah Tinggi Jenayah 1, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. NSTP/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar


BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi mengakui bahawa beliau tidak mempunyai bukti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tahu perbuatan jenayah Low Taek Jho atau Jho Low dalam projek Pulau Bidong di Terengganu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika sesi pemeriksaan balas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Menurut saksi kesembilan itu, beliau juga tidak tahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan itu mendapat keuntungan daripada projek berkenaan.

SHAFEE: Saya ada soalan ‘cepumas’, memandangkan kamu tidak tahu bahawa Jho Low membuat keuntungan ‘right under your nose’ (di hadapan mata), adakah kamu mempunyai bukti Najib terbabit?

SHAHROL: Saya tidak mempunyai sebarang bukti.

SHAFEE: Ada terlintas di fikiran kamu bahawa Jho Low ada membuat keuntungan dulu?

SHAHROL: Tiada idea.

SHAFEE: Kamu ada bukti, Najib tahu berhubung perbuatan jenayah Jho Low ini?

SHAHROL: Saya tiada bukti.

SHAFEE: Dengan apa yang kamu tahu sekarang, boleh kamu katakan Najib terbabit dalam perkara ini?

SHAHROL: Saya tidak boleh buat spekulasi.

SHAFEE: Saya cadangkan kepada kamu, bahawa Jho Low adalah seorang penyangak yang bertindak sendiri kerana dia menipu semua orang termasuk kamu?

SHAHROL: Saya tidak mempunyai maklumat yang cukup.

Terdahulu, saksi itu bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa ketiadaan tandatangan Jho Low dalam dokumen membabitkan 1MDB mungkin bagi mengelakkan dirinya daripada disiasat oleh pihak berkuasa.

Shahrol berkata demikian ketika dirujuk satu dokumen yang didakwa mengandungi tandatangan Jho Low.

SHAFEE: (Merujuk dokumen) Adakah ini tandatangan Jho Low?

SHAHROL: Saya tidak tahu, saya tidak pernah melihatnya.

SHAFEE: Ia adalah sesuatu yang mengejutkan kerana tandatangannya (Jho Low) tidak pernah muncul di mana-mana?

SHAHROL: Ya.

SHAFEE: Menggunakan orang lain, Jho Low tidak pernah menampilkan dirinya melalui tandatangan atau sewaktu dengannya?

SHAHROL: Ya.

SHAFEE: Saya cadangkan, dia tidak mahu siasatan menunjukkan kepadanya, oleh itu tiada tandatangan di mana-mana?

SHAHROL: Ada kemungkinan.

Prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 5:21 PM