Gambar Hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Apendy Issahak


LELAKI Indonesia ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak selepas pemeriksaan mendapati warga asing berkenaan memiliki kad pengenalan palsu.

Ketika diperiksa lelaki itu cuba membuktikan dirinya warga Malaysia dengan menunjukkan kad pengenalan versi lama namun pegawai operasi meragui ketulenan dokumen itu dan membuat semakan lanjut.

Lelaki itu adalah seorang daripada 30 warga asing yang diberkas dalam operasi sekitar Ipoh mulai 4 petang semalam dan berakhir 2 pagi hari ini.

Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail berkata, tujuh lokasi diserbu iaitu di beberapa premis kediaman dan tapak pembinaan membabitkan pemeriksaan terhadap 53 orang terdiri daripada pelbagai warganegara.

“Daripada jumlah itu, 30 orang ditahan membabitkan 13 lelaki dan lapan wanita Indonesia; tiga lelaki Bangladesh; tiga lelaki Sri Lanka; dua lelaki warga India dan seorang lelaki Pakistan yang berusia antara 30 hingga 50 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, maklumat awal diterima mendapati lokasi yang diserbu disyaki menggaji warga asing tanpa pas sah.

“Ketika serbuan di salah sebuah premis kediaman, didapati lelaki warga Indonesia yang ketakutan cuba membuktikan dirinya warga Malaysia dengan menunjukkan kad pengenalan versi lama.

“Pegawai operasi meragui ketulenan kad pengenalan itu dan menahan individu terbabit untuk siasatan lanjut.

“Semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak mendapati kad pengenalan itu palsu dan suspek diserahkan kepada JPN Perak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kamalludin berkata, siasatan awal di lokasi serbuan lain juga mendapati semua yang ditahan melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan sah, melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah serta tinggal lebih masa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 5:35 PM