Anggota APMM memeriksa sangkar yang digunakan nelayan untuk mengutip siput secara tidak sah di Jeti APMM Zon Kuala Kedah hari ini. Foto Ihsan APMM
Noorazura Abdul Rahman


AGENSI Peguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Kedah menahan tujuh nelayan tempatan dan merampas sebuah bot kelas A selepas dipercayai melakukan aktiviti mengutip siput secara tidak sah hari ini.

Pengarah Zon APMM Kuala Kedah Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, kesemua nelayan berusia antara 36 hingga 45 tahun itu ditahan pada 3.45 pagi di jarak 10 batu nautika timur laut Kuala Kedah.

“Hasil tangkapan siput yang dilakukan mereka dianggarkan sebanyak 60 kilogram dan sebuah set sangkar besi yang bernilai RM3,000 turut dirampas.

“Bot berkenaan kemudiannya dibawa ke Jeti Zon APMM Kuala Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar hari ini.

Mahmad Faizal berkata, pemeriksaan awal mendapati kesemua mereka melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana memiliki peralatan yang tidak dilesenkan iaitu tangguk tunda siput (sangkar besi).

Menurutnya, nelayan terbabit juga didapati tidak mengusahakan sendiri bot itu dan beroperasi di luar waktu yang dibenarkan.

“APMM sentiasa memandang serius terhadap aduan tentang pelanggaran undang-undang yang sebahagiannya membabitkan kesalahan yang dilakukan oleh pengusaha bot siput.

“Kami mengharapkan maklumat dan kerjasama orang ramai serta komuniti maritim supaya segera melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 8:01 PM