ZAHIDAH (kiri) bersama ahli keluarga menabur bunga mawar pada pusara arwah ibunya. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
ZAHIDAH (kiri) bersama ahli keluarga menabur bunga mawar pada pusara arwah ibunya. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


IBU kepada wartawan Harian Metro Biro Terengganu, Zatul Iffah Zolkiply meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Teluk Intan (HTI) dekat Bidor, semalam akibat komplikasi buah pinggang.

Allahyarham Rahmah Megat Othman, 65, yang juga pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) menghembuskan nafas terakhir pada 6.10 petang selepas 29 hari dirawat di hospital berkenaan.

Anak bongsu arwah, Zahidah Izzaty Zolkiply, 21, berkata, selain komplikasi buah pinggang ibunya turut mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung sejak 2017, namun mula serius tahun ini.

“Mak mula dimasukkan ke Hospital Tapah pada 10 September lalu kerana sesak nafas dan kemudian dipindahkan ke HTI selepas keadaannya semakin teruk dan perlu menjalani dialisis.

“Mak baru bersetuju untuk menjalani dialisis yang bermula pada 24 September lalu dan semalam adalah dialisis ketiganya.

“Arwah sepatutnya keluar wad hari ini namun sudah takdir mak pergi dahulu dan kami sekeluarga reda dengan ketentuan ini,” katanya ketika ditemui di Bidor, hari ini.

Katanya, ibunya menghembuskan nafas terakhir di sisi bapa, Zolkiply Ibrahim, 64, dan dua anak.

Jenazah Allahyarham yang meninggalkan enam anak, dua menantu dan seorang cucu dikebumikan 11.20 pagi, hari ini di Tanah Perkuburan Islam Kariah Jeram Mengkuang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 8:23 PM