Skip this ad x
KOLAM buatan di lokasi kejadian kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun lemas di Taman Sri Bayu, Amanjaya, Sungai Petani, semalam mempunyai pagar dan parit di sekeliling kawasan berkenaan. FOTO Nor Farhani Che Ad.
Nor Farhani Che Ad


KAWASAN kolam buatan yang menjadi lokasi seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun lemas di Taman Sri Bayu, Amanjaya, Sungai Petani, semalam adalah kawasan berpagar dan mempunyai parit tanah di sekelilingnya.

Tinjauan Harian Metro di lokasi kejadian mendapati kolam berkeluasan 2.79x2.79 meter persegi dengan kedalaman tiga meter itu berada di kawasan tanah diusahakan dengan tanaman pokok petai.

Pintu pagar untuk masuk ke kawasan berkenaan didapati sudah berkunci berkemungkinan bagi mengelakkan orang ramai masuk ke dalam kawasan terbabit.

Sumber daripada Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) berkata, kawasan berkenaan adalah milik tanah persendirian.

“Kami percaya kolam ini digunakan sebagai tadahan air untuk menyiram pokok terdapat di sini.

“Bagaimanapun, kami masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti pemilik tanah kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, hasil tinjauan dilakukan pihaknya, kolam terbabit dipercayai dikorek sejak beberapa bulan lalu berdasarkan keadaan tanah sudah kering dan terdapat rumput di sekeliling kolam.

Semalam, Muhammad Danial Affandi Mohd Kushaimi meninggal dunia akibat lemas selepas dipercayai terjatuh ke kolam berkenaan ketika bermain di kawasan itu.

Kanak-kanak itu dikatakan pergi ke kolam terbabit bersama abangnya, Muhammad Danial Asyraf, 13, serta dua rakan mereka dan merancang untuk mandi.

Bagaimanapun, mangsa dipercayai tersepak batu lalu terjatuh ke dalam kolam terbabit sebelum sempat mandi di kolam buatan itu.

Mangsa ditemui anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Berita berkaitan

'Budak maut terjatuh kolam [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 9:25 PM