ANTHONY Loke menunjukkan pelekat kenderaan e-hailing semasa sidang media di kementeriannya hari ini.
Hairulazim Mahmud

PUTRAJAYA: “Penguatkuasaan e-hailing akan tetap dilaksanakan pada 12 Oktober ini, tiada perubahan,” kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Sehubungan itu pihaknya tidak akan melayan sebarang permintaan untuk melanjutkan tarikh berkenaan kerana operasi perkhidmatan itu tidak akan terganggu.

Katanya, isu penukaran kod kenderaan ke AH (e-hailing persendirian) dan mencetak Permit Kenderaan E-hailing (eVP) tidak perlu dilakukan oleh pemandu atau pemilik kenderaan terbabit.

“Pemilik dan pemandu kenderaan e-hailing tidak perlu hadir ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi tujuan ini kerana sudah dilaksanakan melalui saluran maklumat eVP oleh APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat), LPKP (Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan) Sabah dan LPKP Sarawak.

“Maklumat itu akan ditukar secara automatik kepada kod AH dalam mySIKAP oleh JPJ.

“Selain itu kod terbabit hanya untuk kegunaan dalaman pentadbiran sistem mySIKAP dan tidak akan dicetak dalam geran hak milik kenderaan atau tertera dalam mana-mana dokumen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di kementeriannya di sini, semalam.

Sebelum ini, operator e-hailing seperti Grab mempersoalkan dua peraturan baharu JPJ iaitu penukaran kod kenderaan kepada AH dan pemandu mesti mencetak eVP dengan berurusan di kaunter JPJ.

Mereka mendakwa tidak mempunyai masa yang cukup untuk berbuat demikian sekiranya peraturan itu dikuatkuasakan Sabtu ini.

Kod AH antaranya adalah untuk JPJ mengenal pasti kenderaan persendirian individu dan e-hailing.

Selain itu, ia untuk memastikan ia menjalani pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Dalam pada itu, Loke berkata, JPJ tidak akan terus memeriksa semua kenderaan e-hailing pada hari pertama penguatkuasaannya.

Sebaliknya, katanya, pihak berkuasa melaksanakan penguatkuasaan secara berperingkat untuk memberi peluang kepada pemandu dan pemilik e-hailing mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.

“Seperti EVP, ia tidak perlu atau tak semestinya dicetak kerana semua maklumat sudah ada dalam sistem, cuma jika untuk kemudahan pemandu, mereka boleh mencetaknya sendiri di rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 6:00 AM