ANTARA barangan yang dirampas daripada kedua suspek. FOTO Ihsan FB Polis Daerah Johor Bahru Utara
Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS menahan dua lelaki selepas menemui syabu dan pelbagai peralatan dipercayai untuk digunakan dalam kegiatan pecah rumah dalam milikan mereka di Jalan Hulubalang 3, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di Johor Bahru, semalam.

Dalam kejadian 2 pagi itu, dua lelaki masing-masing berusia 35 dan 36 tahun ditahan untuk pemeriksaan ketika ditemui berjalan kaki dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, hasil pemeriksaan ke atas tubuh kedua-dua suspek, polis menjumpai sepeket kecil syabu selain peralatan dipercayai untuk pecah rumah.

“Ketika pasukan cegah jenayah membuat rondaan di kawasan terbabit, anggota polis nampak dua lelaki sedang berjalan kaki dan kemudian menahan mereka sebelum memperkenalkan diri sebagai polis.

“Polis meminta mereka mengemukakan dokumen pengenalan diri bagi tujuan pemeriksaan, namun mendapati seorang daripada mereka gagal untuk mengemukakan dokumen pengenalan diri

“Polis kemudian membuat pemeriksaan pada tubuh badan suspek dan menjumpai pelbagai barangan,” katanya.

Menurutnya, peralatan yang berada dalam milikan suspek adalah ‘allen key’ yang sudah ditajamkan di bahagian pangkal dan hujung, pemotong, playar, pisau lipat, beg pinggang dan sepaket kecil plastik lut sinar berisi hablur kristal disyaki syabu.

Mohd Taib berkata, anggota polis kemudian membawa kedua-dua suspek ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara untuk tindakan lanjut.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine,” katanya.

Menurut Mohd Taib, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta yang sama serta Seksyen 28(1) Undang-undang Kesalahan Kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 10:59 AM