Skip this ad x
Nurul Hidayah Bahaudin


SEMBILAN struktur di Kampung Paya Jaras Hilir, di Sungai Buloh, dibina atas tanah rizab sungai dirobohkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling, hari ini.

Operasi perobohan itu bermula 7.30 hingga 10.30 pagi tadi membabitkan kira-kira 50 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Seorang daripada penghuni rumah yang diroboh dalam operasi itu, Nuriza Djainwri, 32, berkata, pihaknya menerima notis makluman berhubung operasi itu, kira-kira dua minggu lalu.

“Pada mulanya, pejabat tanah memaklumkan hanya suku daripada ruang rumah kami yang terletak di atas tanah rizab terbabit. Namun, apabila ukuran terbaru dilakukan, mereka (pejabat tanah) memaklumkan separuh ruang kami terletak pada tanah itu.

“Menurut mereka juga kami boleh tinggal di rumah berkenaan dengan syarat merobohkan sendiri separuh rumah yang termasuk dalam tanah rizab terbabit,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Nuriza berkata, pihaknya hanya dimaklumkan mengenai tindakan merobohkan sendiri struktur terbabit dalam tempoh tiga hari sebelum ia dirobohkan, hari ini.


OPERASI perobohan membabitkan sembilan struktur di Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin

“Mana mungkin kami boleh meroboh sendiri struktur itu dalam tempoh tiga hari. Mula-mula mereka kata boleh tinggal di rumah ini menyebabkan kami tidak melakukan persiapan mencari rumah sewa.

“Kira-kira jam 6 pagi tadi, mereka sudah mengetuk rumah kami mengarahkan supaya mengeluarkan semua barang. Semua barang kami kini bersepah dan tidak tahu mahu disimpan di mana,” katanya yang juga suri rumah.

Seorang lagi penghuni rumah yang dirobohkan dalam operasi itu, Suria Talib, 40, berkata, dia amat sedih apabila melihat rumah yang didudukinya bersama ahli keluarga lain sejak 1997 dimusnahkan.

“Saya ada enam anak termasuk seorang anak di Tingkatan Tiga yang baru saja selesai menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), semalam.

“Nasib baik, dia (anak) sudah memulangkan buku teks, semalam. Jika tidak, pasti sukar untuk dia mencari buku berkenaan dalam timbunan barang ini,” katanya.

Suria berkata, dia dan keluarganya mungkin akan tinggal sementara bersama saudara atau jiran terdekat yang sudi membantu.

“Kami sekeluarga tidak mempunyai sebarang perancangan sebelum ini. Apabila perkara ini (roboh) berlaku, saya buntu dan tidak tahu ke mana mahu dituju.

“Kami hanya mampu mengharap belas kasihan saudara dan jiran yang sudi menumpangkan tempat berteduh sementara mencari tempat tinggal selepas ini,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan sebanyak 37 rumah dibina atas tanah rizab sungai dirobohkan PDT Petaling bagi memberi laluan projek pelebaran Sungai Kedondong untuk mengatasi masalah banjir kilat, September lalu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa terbabit juga sudah memberi tempoh kepada pemilik 56 rumah lain sebelum dirobohkan bagi membolehkan anak mereka menduduki PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terlebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 11:27 AM